Dana bantu penerbitan filem bertemakan kenegaraan, perpaduan akan diwujudkan – Annuar Musa

  • September 19, 2022
  • 1 min read
Dana bantu penerbitan filem bertemakan kenegaraan, perpaduan akan diwujudkan – Annuar Musa

PUTRAJAYA: Dana bagi membantu penerbitan filem tempatan berunsur kenegaraan dan mempunyai eleman perpaduan akan diwujudkan oleh kerajaan dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Annuar, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk tujuan tersebut.

“Saya sedang usahakan dan doakan seberapa cepat.

“Saya rasa penggiat industri filem perlu dibantu lebih lagi, bukan sekadar DKD (Dana Kandungan Digital) dan FIMI (Insentif Penerbitan Filem di Malaysia) sahaja, kerana kita mahu galakkan penerbitan pelbagai genre filem serta meraikan mereka yang mempunyai idea kreatif,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan OST dan trailer filem ‘Seratus’ di sini hari ini.

Annuar berkata, bagi memastikan kualiti sesebuah filem itu terjamin dan setanding filem luar, penggiat seni perlu dibantu dan disokong bermula dari proses awal penghasilan filem lagi.

“Saya sedang cuba untuk melihat kemungkinan membuat suatu itu menjadi lebih fleksibel, jadi Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) boleh pilih filem yang patut diberikan sokongan (dana) khas ini.

“Saya percaya industri filem tempatan boleh diangkat ke tahap lebih baik, dengan syarat penerbit dan pihak terlibat mestilah bersedia melakukan sesuatu di luar dari kelaziman,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *