DAPUR TEMPUR SELEBRITI PASANGAN SELEBRITI EPISOD PERTAMA RIUH SEHINGGA DAPUR BERASAP!
Petaling Jaya – Program realiti memasak popular TV9, Dapur Tempur kembali lagi
dengan musim baharu, Dapur Tempur Selebriti yang pastinya lebih meriah dan mendebarkan!
Episod pembukaan Dapur Tempur Selebriti kali ini menampilkan Achey dan pasangannya, Anne (isteri) bakal menentang Ain Edruce dan pasangannya, Amirul (suami). Jadi, pasangan manakah yang berjaya menggalas takhta juara bagi episod pertama serta membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000?
“Nantikan selebriti kegemaran anda bertempur di Dapur Tempur Selebriti yang akan bersiaran bermula pada 18 November 2023 ini, setiap hari Sabtu, pukul 8.30 malam selama satu jam di TV9”.
Penonton juga boleh strim melalui Tonton di www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google
Play atau App Store.
Kedua-dua pasangan selebriti ini terkenal dengan personaliti mereka yang sering membuatkan penonton tak kering gusi. Pasangan episod pertama kali ini tampil dengan nama kumpulan yang juga mencuit hati, 50-50 (Ain Edruce & Amirul) dan Mok Strong (Achey & Anne). Gelagat mereka beraksi di dapur lebih menghiburkan kerana mereka tidaklah begitu mahir dalam bidang masakan sehingga menyebabkan dapur
berasap dan sudip yang digunakan menjadi cair. Agak-agak, pasangan manakah yang menimbulkan huru-hara ini?
Ain Edruce tampil berkeyakinan kerana dia mendakwa dirinya pandai memasak dan hari-hari ada menu baharu untuk suaminya. Ada sebarang strategi atau rahsia ke? Ain Edruce berkongsi, “Alhamdulillah saya dah praktis seminggu sebelum sertai Dapur Tempur Selebriti. Setiap malam saya dah masakkan untuk suami saya, Amirul.” Berjayakah Ain Edruce dan Amirul tempuh segala cabaran yang diberi?
Achey juga tidak mengalah dan berkongsi pengalamannya di dapur dengan mengatakan, “Saya tidak kisah
orang ragu-ragu dengan saya kerana di rumah memang saya yang sediakan barang-barang prep dan saya juga yang membeli barangan memasak yang lain.”
Dapur Tempur Selebriti kali ini menampilkan tema yang berbeza berbanding edisi Dapur Tempur & Dapur Tempur Ra-Ra sebelum ini. Kebiasaannya, Dapur Tempur menguji peserta untuk menyediakan menu masakan Melayu tetapi untuk edisi kali ini, setiap pasangan perlu menyediakan hidangan bertemakan
masakan barat. Dapur Tempur Selebriti tidak lengkap tanpa cabaran dan cabaran pertama untuk episod pertama Dapur Tempur Selebriti ialah cabaran ‘Misteri Ke?’. Cabaran ini memerlukan setiap pasangan menggunakan
bahan misteri yang telah dipilih.
Mereka perlu untuk menambah baik atau improvisasi hidangan mereka dengan masa yang diberikan hanya 30 minit sahaja. Jadi, pasangan manakah yang lebih handal
menunjukkan skil di dapur? Bolehkah mereka menerima komen-komen pedas daripada juri Michael Ang dan Cef Naem?