Datuk Bandar Ipoh sampaikan 714 tong sampah 120 liter kepada penduduk Taman Meru 2B

  • April 14, 2023
  • 2 min read
Datuk Bandar Ipoh sampaikan 714 tong sampah 120 liter kepada penduduk Taman Meru 2B

Sejumlah 714 unit tong sampah telah diagihkan oleh Y.Bhg. Dato’ Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh kepada para penduduk di Taman Meru 2B sempena Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah yang melibatkan sebanyak 5 buah lori pagi tadi. Ia turut dihadiri oleh Clr. Dato’ Azizul Kama bin Abdul Aziz, Ahli Majlis MBI Zon 5 dan Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya.

Program yang berobjektif untuk meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih dalam usaha untuk merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia pada tahun 2023 telah mula dijalankan pada April 2021 seterusnya ditangguhkan beberapa bulan kerana Pandemik Covid 19 dan diteruskan semula pada Februari 2022 sehingga kini.

Dari April 2021 hingga Mac 2023 sebanyak 50, 323 tong sampah telah diedarkan kepada wargakota Ipoh.

Aspek kebersihan dan kesihatan penting dlaam kehidupan seharian. Oleh itu, wargakota Ipoh perlu menitikberatkan penjagaan kebersihan dan mewujudkan suasana persekitaran yang selesa.

Hasrat Majlis Bandaraya Ipoh untuk menjadikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera serta Bandar Terbersih di Malaysia tidak hanya memadai dengan penyediaan perkhidmatan, infrastruktur dan kemudahan awam kepada masyarakat sebaliknya masyarakat perlu dididik untuk berubah kearah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar.

Melalui program ini diharap dapat mewujudkan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan serta menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai suatu budaya seawal dari rumah dan seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan kebersihan dan keindahan persekitaran.

Bersempena dengan Hari Raya Aidil Fitri yang hampir tiba juga, pengedaran tong sampah di taman ini diharap dapat digunakan dengan baik oleh penduduk dalam memastikan kebersihan dan persekitaran sentiasa terpelihara.

Semoga program pada pagi ini akan menjadi titik tolak untuk mencapai matlamat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia serta dan Bandaraya Bestari Sejahtera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *