DBKL Pasang CCTV Segera di Taman Persekutuan Bukit Kiara, Siap Awal Mac 2026

KUALA LUMPUR, 27 Feb 2026 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara dalam tempoh terdekat susulan insiden pecah kenderaan yang dilaporkan berlaku di lokasi berkenaan.

DBKL dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil maklum hantaran Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berhubung kejadian tersebut serta cadangan pemasangan CCTV bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu.

Menurut kenyataan berkenaan, kerja-kerja pemasangan CCTV akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu dan dijangka siap sepenuhnya pada awal Mac 2026.
“DBKL memandang serius insiden tersebut dan kebimbangan yang disuarakan orang awam. Keselamatan warga kota serta pengunjung taman sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memastikan persekitaran awam yang selamat dan kondusif,” menurut kenyataan itu.

Taman Persekutuan Bukit Kiara merupakan antara lokasi rekreasi popular di ibu negara yang sering dikunjungi orang ramai untuk aktiviti riadah.
DBKL turut menegaskan komitmen berterusan pihaknya untuk memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar yang selamat, sejahtera dan selesa untuk semua.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL melalui e-mel akhbar@dbkl.gov.my.

I

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *