Dolla gegar episod 4 Ahad ini!
Petaling Jaya – Program hiburan nombor satu di Malaysia, I CAN SEE YOUR VOICE
MALAYSIA (ICSYVMY) yang diadaptasikan daripada program popular Korea Selatan terus rancak dengan musim kelima yang sedang bersiaran pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim live secara HD di www.tonton.com.my.
Episod 4 yang bakal bersiaran pada hari Ahad ini lebih hangat dengan kehadiran Kumpulan Dolla sebagai artis jemputan. Kemunculan Dolla dalam program I Can See Your Voice Malaysia 5 memang dinanti-nantikan oleh para peminat mereka selepas keluaran single terbaharu ’Bad’ pada bulan Februari dengan meraih jutaan tontonan digital di laman Youtube.
Kehebatan persembahan Dolla yang pasti membuatkan penonton terpukau memang tidak dapat disangkalkan lagi. Namun, berjayakah mereka mengenal pasti siapakah penyanyi dan penyamar dalam kalangan 6 penyanyi misteri itu?
Dapatkah Dolla bersepakat dalam menyelesaikan misi pencarian di
samping mendengar kata-kata dan pandangan yang diberikan oleh panel penyiasat?
Bagi peminat ICSYVMY yang merindui Sean Lee, nantikan kemunculan beliau sebagai panel penyiasat di episod ini bersama-sama dengan Ruhainies dan Zynakal.
Adakah Sean dapat memainkan peranannya
dengan baik atau kehadiran beliau memberikan tekanan kepada Izzue Islam dan Ain Edruce yang menggalas tugas sebagai hos program ini? Segalanya akan terjawab minggu ini !