Dua peringkat harga beri keuntungan sama rata bagi pemegang taruh minyak sawit mentah

  • June 11, 2021
  • 2 min read
Dua peringkat harga beri keuntungan sama rata bagi pemegang taruh minyak sawit mentah

SELANGOR: Cadangan yang dikemukakan oleh Setiausaha Agong KEADILAN berkenaan pelaksanaan dua peringkat harga (2-tiered pricing) kepada harga minyak sawit mentah perlu diangkat dan dipertimbangkan di peringkat Kerajaan Pusat.


Ini kerana formula ‘menang-menang’ yang disebut oleh Menteri Khairuddin Aiman Razali tidak memihak kepada pengguna, walhal sewajarnya ia mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh, termasuklah pengguna yang terdiri dari kalangan rakyat terbanyak.


Bagi dua peringkat harga, antara langkah yang boleh diambil adalah bagi tujuan eksport harga minyak sawit dijual mengikut harga pasaran, manakala bagi tujuan domestik, Kerajaan boleh memperkenalkan harga yang lebih rendah.

Dengan cara ini harga minyak masak tempatan akan menjadi lebih murah berbanding yang sekarang.


Kerajaan pada hari ini berpandukan kaedah simulasi harga runcit minyak sawit bagi harga di atas “threshold” bagi menetapkan harga minyak masak bersubsidi.


Berdasarkan kaedah ini semua komponen kos telah diambil kira. Komponen kos ini adalah sama untuk pengeluaran minyak masak tanpa subsidi. Ini termasuklah harga minyak sawit RBD Olein, kos pengilang, margin keuntungan pemborong, margin keuntungan peruncit dan kos pentadbiran.


Jika kaedah dua peringkat harga ini dilaksanakan harga minyak masak 5kg boleh dijual paling mahal pada harga RM20 sebotol setelah mengambil kira semua kos yang terlibat.

Sukacita ingin saya ingatkan bahawa Malaysia adalah antara negara pengeksport minyak sawit mentah dunia yang terbesar. Kita mengeksport 27 juta tan minyak sawit dan hanya 1 juta tan minyak sawit mentah yang digunakan untuk kegunaan tempatan.


Jadi kegunaan domestik sebanyak 1 juta tan bagi minyak sawit mentah ini masih boleh ditawarkan pada harga rendah. Ia lantaran kenaikan harga minyak masak sudah ke tahap yang membebankan rakyat. Justeru, janganlah mendera rakyat lagi ketika pandemik dengan kenaikan ini. – UTV Media Msia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *