EKUITI MAAB : BANTU KEMBANG PERNIAGAAN KOPERASI

  • February 10, 2024
  • 3 min read
EKUITI MAAB : BANTU KEMBANG PERNIAGAAN KOPERASI

MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) bakal membuka pegangan sahamnya kepada koperasi yang berminat dalam usaha membantu menggalakkan koperasi mengembangkan perniagaan.

Tawaran tersebut adalah merangkumi  sebahagian saham yang diperuntukkan kepada koperasi dan perinciannya bakal diumumkan pada masa terdekat.

Buat masa ini, MAAB masih memegang 100 peratus pegangan ekuiti dalam syarikat.

Demikian dinyatakan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika merasmikan  Majlis Malam Apresiasi Rakan Korporat 2023 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 MAAB di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 2 Februari 2024.

Bertemakan ‘Pengukuhan Kelestarian Perniagaan MAAB’,  majlis tersebut dianjurkan bagi menghargai rakan korporat MAAB dari pelbagai kategori termasuk institusi kewangan, syarikat korporat, koperasi dan agensi kerajaan serta meraikan kejayaan MAAB mengharungi 10 tahun alam perniagaan.

Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, MAAB telah berjaya mendaftarkan sejumlah 386,854 kes wasiat dengan anggaran jumlah harta pewasiat yang perlu diurus sebanyak RM193.4 billion bagi tahun 2023.

“Jumlah berkenaan dilihat mencerminkan kepercayaan masyarakat kepada satu-satunya entiti koperasi dalam negara yang menjalankan amanah wasiat, pusaka serta infaq sejak sedekad MAAB berada dalam dunia perancangan dan pentadbiran harta pusaka.

Pencapaian dan prestasi jualan  MAAB   serta pendaftaran Rakan Korporat seperti institusi perbankan, syarikat dan Rakan Niaga Koperasi (RNK) yang semakin meningkat amat membanggakan.

Ini termasuk kerjasama baik dengan sembilan institusi perbankan terkemuka negara iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), CoopBank Pertama (CBP), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), Bank Islam,  MBSB, Bank Ar Rajhi, Bank Affin serta Bank Muamalat,” ujarnya.

Selain itu katanya, MAAB juga telah berjaya berkolaborasi dengan lebih 80 koperasi serta 66 syarikat yang turut menjadi wakil dan ejen jualan MAAB.

“Bagi memastikan kelestarian perniagaan MAAB terus berkembang,  diharap lebih banyak agensi, syarikat atau institusi lain akan berkolaborasi dengan MAAB seperti Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Non-Profit Organisation (NGO), agensi kerajaan serta syarikat swasta untuk bersama-sama menghebahkan kepada masyarakat  terhadap kepentingan perancangan harta pusaka melalui produk MyWasiat, MyHibah, MyAmanah dan MyPusaka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MAAB, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dalam ucapannya berkata, MAAB akan terus memacu kesedaran perancangan dan pentadbiran harta pusaka dalam kalangan masyarakat dengan misi menjadi Syarikat Amanah Terunggul di Malaysia sekali gus memastikan sasaran perolehan pada tahun 2024 sebanyak RM28.8 juta dapat dicapai.

“Bagi  memenuhi keperluan dan manfaat pengguna,  MAAB telah melancarkan tiga produk baharu sempena ulang tahun Ke -10 iaitu Myhibah Harta Bercagar, Myhibah Harta Alih dan Myaset Pilihan Pasangan (Harta Sepencarian) yang diharap dapat menarik lebih ramai rakan niaga strategik menyertainya,” katanya.

Dalam majlis sama, MAAB turut meraikan pemenang pelbagai kategori yang diperkenalkan iaitu Anugerah Jualan Hibah Tertinggi, Anugerah Jualan Wasiat Tertinggi – Kategori Institusi Kewangan, Anugerah Jualan Wasiat Tertinggi – Kategori Institusi Kewangan (Bank Koperasi), Anugerah Jualan Wasiat Tertinggi – Kategori Rakan Niaga dan Anugerah Rujukan Pusaka Tertinggi 2023.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah barisan Ahli Lembaga MAAB, Ketua Pegawai Eksekutif CBP Pertama, Tuan Khairil Anuar Mohammad Anuar, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, YM Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Pengarah Urusan merangkap Ahli Lembaga Pengarah MAAB, Encik Mohamad Darulnizam Mat Darus dan Ketua Pegawai Perniagaan merangkap Lembaga Pengarah MAAB, Tuan Haji Mohd Zulkifli Ismail.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *