FELDA Rangka Strategi Baharu, Sejajar dengan Aspirasi Kerajaan

  • March 28, 2025
  • 2 min read
FELDA Rangka Strategi Baharu, Sejajar dengan Aspirasi Kerajaan

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2025 – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kini sedang merangka hala tuju baharu bagi memastikan keupayaannya kekal relevan dan berdaya saing, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai agensi utama dalam memperkasa peneroka dan komuniti luar bandar, FELDA bertekad untuk memperkenalkan strategi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada peneroka, malah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara. Perkara ini dinyatakan ketika ucapan beliau di majlis berbuka puasa bersama Felda baru- baru ini.

Pelan hala tuju ini akan dikemukakan dalam tempoh sebulan, seperti yang diminta oleh Perdana Menteri, bagi memperkukuhkan kedudukan FELDA sebagai peneraju sektor agribisnes negara.

Menurut FELDA, selepas sambutan Aidilfitri, tumpuan utama akan diberikan kepada perincian pelan tindakan berdasarkan data dan kajian sedia ada. Proses ini turut melibatkan input daripada kepimpinan dalaman, pakar sektor perladangan, pakar ekonomi serta pihak berkepentingan bagi memastikan setiap inisiatif yang dirangka mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar, khususnya dalam sektor perladangan dan komuniti.

Pendekatan inklusif yang diambil FELDA dijangka menghasilkan dasar yang lebih berimpak tinggi dan mampu membawa perubahan signifikan. Dengan sokongan penuh daripada Kerajaan MADANI serta kolaborasi erat dengan pelbagai pihak berkepentingan, FELDA yakin hala tuju baharu ini dapat memperkasakan peneroka dan terus menyumbang kepada kestabilan ekonomi serta sosial negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *