STRATEGI PEMERKASAAN BUMIPUTERA MELALUI 3P | NARATIF EKSKLUSIF KP MARA

Kuala Lumpur, 28 Mac 2025 – Pemerkasaan Bumiputera melalui 3P iaitu Penyertaan, Pemilikan, Penguasaan adalah strategi yang dilihat sebagai kaedah berimpak tinggi untuk menerajui sosioekonomi Bumiputera.
Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Zulfikri Osman berkata, MARA adalah sebagai peneraju untuk mengangkat martabat Bumiputera.

“Matlamat 3P bukan sekadar retorik semata-mata namun ia perlu dibuktikan melalui peningkatan sumbangan masyarakat Bumiputera dalam industri negara.”
“Saya percaya bahawa model yang kita laksanakan ini adalah usaha bertepatan memastikan Bumiputera terlibat serta memiliki kepakaran yang tinggi untuk memacu produktiviti ekonomi negara.
“Semakin ramai golongan tenaga mahir dan profesional yang kita lahirkan, maka ia akan memberi impak besar terhadap penguasaan ekonomi yang berpotensi dipelopori oleh anak Bumiputera.”
Beliau berkata demikian dalam program Naratif Eksklusif Ketua Pengarah MARA di Ibu Pejabat MARA.
Dato’ Zulfikri turut menyatakan bahawa ekosistem pendidikan MARA akan mewujudkan artikulasi yang lebih ‘seamless’. Sebagai contoh, dari peringkat MRSM lagi pelajar didedahkan dengan laluan kerjaya bidang profesional dan TVET.
Melalui sektor pendidikan, kita melahirkan ramai graduan Bumiputera yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran setelah mengikuti pengajian dalam sistem MARA. Kemudian, ia membuka peluang kerjaya kepada mereka untuk menyertai bidang industri atau aktiviti ekonomi negara.
Sebaliknya, melalui fungsi sektor keusahawanan MARA pula, pelajar daripada bidang profesional mahupun TVET juga diberikan laluan untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Jika dulu mereka boleh bekerja maka ia dikenalpasti sebagai elemen penyertaan, kini mereka boleh memiliki entiti perniagaan tersendiri yang dimaksudkan dengan elemen pemilikan.”
“Menyentuh soal TVET, di peringkat GIATMARA, kita mahukan institusi tersebut menjadi high-skills iaitu menyediakan kompetensi pelatih dari tahap 1 hingga tahap 5,” ujar Dato’ Zulfikri.
Selain itu, beliau juga menekankan sektor pelaburan MARA khususnya kepada subsidiari harus memiliki tadbir urus korporat yang lebih efisien untuk mengembangkan prestasi perniagaan. Subsidiari MARA wajar mengenalpasti peluang serta pasaran baharu untuk lebih berdaya saing.
Dato’ Zulfikri juga menyeru kepada warga kerja MARA agar sentiasa merasai ‘roh MARA’ dalam diri bagi memastikan nilai integriti, kesungguhan bekerja, dan matlamat 3P dapat dicapai dengan sebaiknya.