Fitness Strongest Challenge 2023 cungkil bakat baharu
Kuala Lumpur – Kelab Bina Badan Enrich telah menganjurkan Fitness Strongest Challenge 2023 pada 10 Disember 2023 bertempat di Bunga Kemboja Fitness, Seri Kembangan.
Penganjur program, Khrishna Kumar menjelaskan bahawa program ini melibatkan beberapa acara sukan seperti Strongest Man untuk peserta lelaki dan Fitness Challenge untuk peserta wanita. Selain itu, terdapat juga acara Arm Wrestling yang terbahagi kepada lima kategori termasuk kategori lelaki dan wanita, Senam Tari Zumba dan Burger Battle, satu acara makan burger diet terbanyak dalam masa lima minit.
Menurutnya, program bertemakan cabaran ‘fitness’ ini diadakan setiap tahun namun terhenti dek kerana pandemik yang melanda tanah air dan beliau berhasrat untuk meneruskan program ini lagi secara tahunan.
“Selama ini, kita sentiasa buat setiap tahun. Tapi disebabkan oleh pandemik, kita terpaksa rehat. Dan kalau ada rezeki dan sokongan daripada semua pihak, kita akan sambung sebagai acara tahunan.
“Enrich Fitness adalah salah satu penganjur yang selalu melibatkan diri dalam beberapa program kejohanan sukan termasuk juga bina badan dan strongest man. Jadi, dengan adanya sokongan daripada penaja-penaja, atlet-atlet dan semua orang kita berharap program ini akan menjadi acara tahunan dan kita akan teruskan lah di masa akan datang,” katanya.
Menurut Khrishna Kumar, sambutan kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Jelas beliau, penganjuran buat kali ketiga ini menampilkan muka baharu yang dapat dijadikan pelapis bakat baru negara dalam bidang sukan dan kecergasan.
“Untuk program ini, kita menganjurkannya buat kali ketiga dan sambutan buat kali ketiga ini amat luar biasa. Sambutan memang amat memuaskan, lebih daripada jangkaan kami. Jadi, dalam program kita hari ini, kita nampak muka baru lah yang kita tak pernah nampak join sebelum ini. Kita nampak banyak atlet-atlet bakat baru,” katanya.
Tambah beliau, bakat-bakat baru dapat dicungkil dalam program seumpama ini. Galakan amat diberikan kepada mereka supaya tampil menyertai cabaran seperti ini kerana saban tahun, program ini akan disertai oleh muka-muka baru yang ingin mencuba nasib dan menguji ketahanan fizikal dan mental masing-masing.
“Saya harap dengan acara seperti ini, ramai yang akan turut serta untuk datang ke Fitness Centre dan melibatkan diri dalam acara-acara fitness. Bukan setakat menjadi peserta sahaja, bila anda semua datang tengok dan turut serta dalam fitness challenge tu akan menaikkan lagi semangat dalam kejohanan ini,” ujarnya.
Seramai 250 peserta dianggarkan turut serta dalam Program Fitness Strongest Challenge 2023 ini. Tawaran lumayan sebanyak RM30,000 menanti pemenang selain pemberian medal, t-shirt dan sijil penyertaan.
Sementara itu, yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM25 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.