TVET Bukan Lagi ‘Kelas Belakang’, Kerjasama JPK–Vistouso Buka Laluan Kerjaya Bertaraf Global

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi wajar dilihat sebagai pilihan kedua atau laluan untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik, sebaliknya kini muncul sebagai platform pembangunan bakat yang menawarkan peluang kerjaya bertaraf global.

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), hari ini secara rasmi melancarkan JPK-NOCN Joint Pilot Program, satu kerjasama strategik antarabangsa yang menjadi mercu tanda baharu dalam usaha memartabatkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara ke tahap piawaian global.

Langkah ini adalah manifestasi komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem pembangunan kemahiran negara, dengan memberi tumpuan kepada penyelarasan standard, peningkatan kapasiti tenaga pengajar dan penilai, serta jaminan kualiti kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

NOCN Group ialah sebuah badan penganugerahan utama bagi kelayakan vokasional dari United Kingdom (UK) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Melalui penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) antara JPK dan Vistouso Sdn. Bhd. (NOCN), kerjasama ini memberi tumpuan kepada penyelarasan serta pengiktirafan global terhadap Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).

Inisiatif ini memperkenalkan model berpimpak tinggi “Satu Kursus, Dua Persijilan” yang membolehkan pelajar memperoleh kedua-dua persijilan kebangsaan Malaysia dan persijilan UK yang diiktiraf antarabangsa melalui satu perjalanan pembelajaran, sekali gus meningkatkan kedudukan graduan TVET Malaysia agar menepati penanda aras antarabangsa.

Inisiatif ini juga dirangka untuk mewujudkan peluang kemajuan yang lebih luas bagi pelajar, di samping menyokong mobiliti global melalui kelayakan dan laluan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sebagai permulaan, program rintis ini memberi fokus kepada empat bidang utama:

• Pemasangan Elektrik Satu Fasa dan Penyelenggaraan
• Pemasangan Elektrik Tiga Fasa dan Penyelenggaraan
• Pemasangan Elektrik Voltan Rendah dan Penyelenggaraan
• Servis Kenderaan Elektrik dan Hibrid (Electric and Hybrid Car Servicing)

Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, YBrs. Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md Ali berkata, usaha memperkenalkan pengiktirafan dan akreditasi antarabangsa kepada program TVET mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan kemahiran, sekali gus mengangkat martabat graduan TVET ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut beliau, antara cabaran terbesar yang dihadapi sektor TVET selama ini ialah persepsi negatif segelintir masyarakat yang menganggap pendidikan kemahiran sebagai pilihan terakhir selepas laluan akademik.

“Kita mahu mengubah persepsi itu. Selama ini ada yang melihat TVET sebagai laluan kelas belakang atau pilihan kedua. Hakikatnya, TVET melahirkan tenaga kerja mahir yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan usaha Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memperkukuhkan ekosistem latihan kemahiran melalui kerjasama strategik dengan badan pensijilan antarabangsa yang membolehkan graduan memperoleh pengiktirafan yang diterima pakai di pelbagai negara.

Melalui inisiatif tersebut, pelajar bukan sahaja memperoleh pensijilan kemahiran tempatan, malah berpeluang mendapatkan pengiktirafan tambahan yang membuka laluan untuk bekerja atau menyambung pengajian di luar negara.

“Apabila graduan memiliki pengiktirafan antarabangsa, keyakinan industri terhadap mereka juga akan meningkat. Majikan akan melihat kemahiran yang dimiliki setanding dengan standard global,” katanya.

Selain itu, JPK turut merancang memperkenalkan penggunaan Skill Card, iaitu sistem rekod digital yang mengandungi maklumat lengkap berkaitan kompetensi, kemahiran dan pencapaian graduan.

Menurut beliau, usaha menaikkan imej TVET tidak boleh dilakukan oleh institusi latihan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif pihak industri.

Pada peringkat awal, program pengiktirafan antarabangsa itu akan melibatkan empat bidang latihan yang ditawarkan di 30 pusat bertauliah dengan sasaran seramai 1,000 graduan.

Bagaimanapun, JPK menjangkakan jumlah tersebut akan terus berkembang memandangkan terdapat lebih daripada 3,000 program latihan kemahiran serta lebih 1,500 pusat bertauliah di bawah seliaan jabatan itu yang berpotensi menyertai inisiatif berkenaan.

Dalam masa sama, lebih 2,000 penilai kemahiran atau asesor yang berdaftar dengan JPK turut berpeluang meningkatkan kompetensi mereka melalui pengiktirafan antarabangsa.

“Bukan sahaja pelajar mendapat manfaat, malah penilai kita juga boleh meningkatkan keupayaan mereka sehingga berpeluang menjalankan penilaian di peringkat antarabangsa. Ini merupakan nilai tambah yang besar kepada keseluruhan ekosistem TVET negara,” katanya.

Beliau optimis bahawa transformasi yang sedang dilaksanakan akan membantu menjadikan TVET sebagai laluan pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti, berkemahiran tinggi dan mampu bersaing di pentas global.

“Matlamat kita ialah memastikan graduan TVET bukan sahaja mendapat pekerjaan, tetapi memperoleh kerjaya yang baik, gaji yang setimpal dan pengiktirafan yang sewajarnya. TVET hari ini bukan lagi kelas belakang, tetapi laluan masa depan yang menawarkan peluang tanpa sempadan,” katanya.

Ketua Eksekutif NOCN United Kingdom, Graham Hasting-Evans berkata kerjasama strategik antara NOCN dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) merupakan langkah signifikan dalam mengangkat standard Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, inisiatif yang dibangunkan bersama sejak setahun lalu itu bukan bertujuan menggantikan sistem sedia ada, sebaliknya memperkukuh serta menambah nilai kepada kelayakan TVET yang telah diwujudkan oleh JPK agar selari dengan standard global.

Beliau berkata, pelaksanaan pensijilan bertaraf antarabangsa itu akan memberi peluang kepada golongan belia dan tenaga kerja Malaysia untuk meningkatkan kemahiran, memperoleh pengiktirafan yang lebih meluas serta memperkukuh kebolehpasaran mereka di pasaran kerja antarabangsa.

Tambah beliau, lebih 1,000 pelajar dijangka menyertai program tersebut menerusi lebih 30 pusat latihan di seluruh Malaysia, sekali gus menjadi satu pencapaian penting dalam usaha memperkasa ekosistem TVET negara.

Pada masa sama, pelancaran NOCN Asia mencerminkan komitmen jangka panjang NOCN terhadap Malaysia dan rantau Asia dalam memperkukuh pembangunan modal insan, memperluas akses kepada kelayakan bertaraf dunia serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.

Inisiatif itu dijangka memudahkan proses pengesahan kelayakan oleh majikan serta meningkatkan mobiliti tenaga kerja berkemahiran di peringkat antarabangsa.

Kita mahu industri melihat TVET sebagai rakan strategik dalam pembangunan modal insan. Apabila industri yakin dengan kualiti latihan dan pengiktirafan yang diberikan, mereka akan lebih bersedia untuk bekerjasama dalam menyediakan latihan industri, peluang pekerjaan serta sokongan dari segi peralatan dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut akan membantu melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan. -UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *