HASIL PERTANIAN BERKUALITI PEMANGKIN KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

  • February 12, 2023
  • 2 min read
HASIL PERTANIAN BERKUALITI PEMANGKIN KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

Koperasi yang menjalankan aktiviti pertanian disaran supaya mengadaptasi penggunaan teknologi bebas kimia yang lebih moden dan mesra alam bagi memastikan kualiti hasil makanan lebih baik.

Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, teknologi organik dalam sektor pertanian yang semakin berkembang mampu memberikan kesan positif terhadap peningkatan hasil yang lebih banyak, berkualiti dan tahan lama selain mudah diterima untuk pasaran eksport.

“ANGKASA akan memberi tumpuan terhadap usaha untuk terus memajukan sektor pertanian koperasi termasuk bidang penternakan seperti ayam pedaging sebagai langkah memastikan koperasi turut berperanan secara signifikan terhadap keterjaminan makanan negara”, ujar beliau.

Datuk Seri Abdul Fattah berkata demikian kepada media sewaktu menghadiri Majlis perasmian Bangunan Kilang Milargo oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu pada 12 Februari 2023 di Bangunan Kilang Milargo, Krubong Melaka.

Datuk Seri Haji Mohamad dalam ucapannya juga turut menyokong inisiatif bagi memperkasakan pembekalan makanan negara sambil menyeru penglibatan lebih banyak pemain industri serta masyarakat supaya bersama-sama memartabatkan pengeluaran hasil pertanian secara lebih organik, berkualiti dan mencukupi.

Beliau dalam perbincangan ringkas bersama Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga turut menyatakan persetujuan untuk meninjau perkembangan selain membantu memperkasakan lagi sektor pertanian oleh koperasi di Malaysia.

Hadir mewakili ANGKASA ialah Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Haji Ab Rahim Md Tawel.

Baja Milagro merupakan produk 100 peratus organik keluaran syarikat Hj. Mat Hj. Jantan Sdn. Bhd. hasil kerjasama pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) serta turut diiktiraf oleh SIRIM. Selain baja Milargo, syarikat itu juga turut mengeluarkan dua lagi produk pelengkap untuk tanaman iaitu NPV (Plant Immunity Booster) dan IMatado (insect repellent).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *