HAWANA 2025 TERIMA TAJAAN 79 RAKAN STRATEGIK

KUALA LUMPUR, 3 Jun 2025 – Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini
merasmikan Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA)
2025 dan mengumumkan logo serta tema sambutan edisi tahun ini di Wisma
BERNAMA di sini.
Sambutan HAWANA 2025 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala
Lumpur (WTC KL) pada 13 hingga 15 Jun ini dengan Majlis Kemuncak HAWANA 2025
akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun ini
melibatkan lebih 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan
wakil media dari negara anggota ASEAN.
Program ini menghimpunkan fraterniti media profesional dan pakar industri untuk
berkongsi idea serta membina jaringan hubungan strategik.
HAWANA 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara menarik, antaranya:
i) Forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun
2025;
ii) Karnival dan pameran HAWANA di Sunway Putra Mall yang berlangsung
dua hari bermula 13 Jun 2025;
iii) Sukan media yang mengetengahkan elemen tradisional; dan
iv) Siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak serta Johor.
Tahun 2025 menyaksikan sebanyak 79 rakan strategik telah menyatakan komitmen
setakat ini dengan menaja serta menyumbang sama ada dalam bentuk tunai,
barangan dan perkhidmatan (penaja in-kind) atau tajaan kontra. Perkembangan ini
jelas menunjukkan HAWANA kini semakin mendapat perhatian daripada syarikat
korporat, apabila jumlah rakan strategik yang tampil memberikan penajaan dan
sumbangan meningkat berbanding 44 pada tahun lalu.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi
pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain
industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat
dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.