“SURPRISING SELANGOR!” JADI TUMPUAN DALAM SESI PERTAMA JOM NGOPI – TOURISM MALAYSIA NETWORK SESH

  • June 5, 2025
  • 2 min read
“SURPRISING SELANGOR!” JADI TUMPUAN DALAM SESI PERTAMA JOM NGOPI – TOURISM MALAYSIA NETWORK SESH

PUTRAJAYA, 4 JUN 2025 – Tourism Selangor terus mengorak langkah mempromosikan destinasi pelancongan Negeri Selangor menerusi penyertaan dalam program “Jom Ngopi – Tourism Malaysia Net-Work Sesh Sesi 1/2025: Surprising Selangor!” yang berlangsung hari ini dengan kerjasama Tourism Malaysia.

Program santai berimpak tinggi ini menghimpunkan lebih 300 tetamu yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pemain industri pelancongan dari seluruh negara. Sesi ini memberi tumpuan kepada Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama dengan mengetengahkan tema “Surprising Selangor!”, sekaligus memperkenalkan kempen pelancongan domestik ‘Wah! Selangor Kan Ada!’ sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor dalam satu kenyataannya berkata, program ini menjadi platform yang signifikan bagi memperkukuhkan kerjasama strategik antara Tourism Selangor, Tourism Malaysia serta penggiat industri pelancongan. Penganjuran sesi ini bukan sahaja membuka ruang untuk mempromosi produk dan destinasi pelancongan baharu di Selangor, malah turut mewujudkan jaringan komunikasi yang kukuh antara semua pemegang taruh industri.

Sebanyak 20 tapak pameran telah disediakan, menampilkan pelbagai segmen pelancongan seperti perhotelan, taman tema, agro dan ekopelancongan, gastronomi, serta budaya dan warisan. Antara penyertaan di bawah Pavilion Selangor termasuklah GL Play by Gamuda Land, Sky Mirror Kuala Selangor, Rumah Hutan Terapi Alam Bonda Rozita, Chocolate Museum, Farm Fresh, Heritaste Jenjarom dan banyak lagi.

Selain pameran, turut diadakan sesi pembentangan produk pelancongan, cabutan bertuah dengan hadiah pakej pelancongan menarik, serta persembahan istimewa lagu rasmi kempen “Surprising Selangor” dan persembahan istimewa oleh Naim Danial.

Penganjuran ini selari dengan strategi memacu pertumbuhan pelancongan domestik dan antarabangsa, di samping meningkatkan kesedaran terhadap keunikan serta kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan Negeri Selangor menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *