IPNas 2025 Catat Skor 0.701, Perpaduan Nasional Semakin Kukuh

KUALA LUMPUR – Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mencatatkan skor 0.701, melepasi paras sederhana tinggi dan mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), menurut Kementerian Perpaduan Negara.

Dapatan kajian yang dilaksanakan dengan kerjasama Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) serta pakar runding Universiti Kebangsaan Malaysia itu menunjukkan trend peningkatan konsisten sejak 2018. Skor IPNas meningkat daripada 0.567 (2018) kepada 0.629 (2022) sebelum mencecah 0.701 pada tahun ini, mencerminkan pengukuhan berterusan tahap perpaduan rakyat.

Dari segi negeri, Pahang merekodkan skor tertinggi iaitu 0.817, diikuti Melaka (0.816) dan Sarawak (0.791), menandakan tahap perpaduan yang kukuh dan konsisten dalam kalangan rakyat.

Kerajaan memaklumkan bahawa tadbir urus dan pembangunan merupakan faktor utama yang mempengaruhi perpaduan negara, merangkumi aspek pengurusan ekonomi, politik, jenayah, perkhidmatan awam, kemudahan awam dan pengurusan masyarakat.

Dalam pada itu, rakyat diingatkan agar terus menghormati sensitiviti agama dan budaya dalam masyarakat majmuk serta memperkukuh tatacara penggunaan media sosial bagi mengelakkan polarisasi dan fenomena “echo chamber” yang boleh menjejaskan keharmonian.

Malaysia, yang dianugerahkan kepelbagaian kaum, agama dan budaya, disifatkan memiliki aset terbesar negara. Semua pihak – termasuk pemimpin, institusi dan masyarakat – diseru untuk terus mendukung agenda pembinaan negara bangsa berteraskan identiti bersama demi memastikan negara kekal aman, bersatu dan makmur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *