Juara bertemu Juara, Berentap Untuk Terpaling Juara! Shaz paling wow!
Petaling Jaya, 29 Ogos 2022 – ‘Dapat rentak yang sesuai dalam setiap persembahan.” – Kapten Akim.
‘Terus jadi Number One!” – Kapten Hael. ‘Persembahan yang menyentuh hati peminat’ – Kapten Naim.
Itulah azam kesemua Kapten yang mahukan peserta-peserta menguasai pentas dan memberikan persembahan yang memukau pada setiap minggu!
Program hiburan terbaharu TV3, TERPALING JUARA menghimpunkan bakat – bakat besar di industri hiburan yang mempertaruhkan lagu – lagu popular yang pernah tercalon di semua edisi Separuh Akhir Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL) terus menghangatkan pentas di episod kedua!
TERPALING JUARA mempertaruhkan 3 kapten, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel yang.merupakan penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik yang berbakat besar serta pemilik trofi Juara Lagu di anugerah paling berprestij untuk membimbing seorang penyanyi senior dan seorang penyanyi junior
untuk menjayakan persembahan mingguan daripada #playlistAJL.
Shaz (Shazreen Shaharum) menerima pujian tinggi daripada juri tetap kerana persembahan yang mempunyai faktor WOW apabila berjaya menyuntik pembaharuan dan modenkan sebuah lagu dangdut, Selamat Jalan Romeo (AJL19, nyanyian asal Ramlah Ram).
Persembahan Shaz juga berjaya mendapat
undian tertinggi dan memenangi Persembahan Terbaik Minggu Ini dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000. Shaz senang bekerja dan berkongsi idea dengan Kapten Hael Husaini dalam mencorak persembahan.
Kejayaan ini turut menyuntik semangat pada Shaz untuk terus berkarya dan
memberikan persembahan yang terbaik pada minggu akan datang.
Tampil sebagai peserta pertama, persembahan Rahmad Mega menerusi lagu Merisik Khabar (Juara Lagu 1987, nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad) sangat memukau dan menerima komen-komen yang positif.
Rahmad Mega berani keluar dari zon selesa dan mencuba elemen baharu apabila
berkolaborasi dengan Hael Husaini.
Aqeesh yang mencabar vokal diri dengan menyanyikan lagu Sumpah (AJL34, nyanyian asal Aina Abdul) diingatkan supaya perlu mengawal emosi kerana ia akan mengganggu persembahan. Begitu juga dengan
Ifa Raziah yang mempertaruhkan lagu Di Pintu Syurga (AJL29, nyanyian asal Dayang Nurfaizah) yang tumpah air mata di pentas.
Beliau juga dinasihatkan oleh juri tetap untuk menjaga emosi ketika bernyanyi dan harus berhati-hati dengan pitching.
Aqmal mempersembahkan lagu Raikan Cinta (AJL16, nyanyian asal Dato’ M.Nasir) memberikan persembahan yang mantap dalam genre lagu Irama Malaysia. Namun, Aqmal perlu lebih yakin di atas pentas dan jangan terikat dengan pergerakan tarian yang boleh membuatkan Aqmal nampak gelisah ketika membuat persembahan.
Lagu Seribu Impian (AJL10, nyanyian asal Casey) oleh Hazami berjaya membawa para penonton mengimbau kenangan era lagu ini. Sebagai seorang penyanyi yang tidak disangkal lagi dengan kehebatan vokal, juri tetap mahu melihat sisi yang berbeza daripada Hazami. Beliau harus lebih berani untuk mencuba dan memberi kejutan baharu dalam persembahan akan datang.