KEMPEN BAYARAN CUKAI TAKSIRAN PERMUDAH URUSAN PENDUDUK
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil inisiatif mengadakan kempen
bayaran cukai taksiran di kawasan PJS 8/2, berhampiran McDonald’s Sunway
Mentari, bagi memudahkan penduduk untuk menjelaskan bayaran serta tunggakan
cukai berkenaan.
Kempen selama dua hari bermula pada 24-25 Februari 2024 (Sabtu-Ahad) pukul
10.00 pagi hingga 3.00 petang menawarkan khidmat nasihat serta rundingan
mengenai kaedah pembayaran tunggakan cukai taksiran. Selain itu, orang awam
juga membuat semakan bil cukai taksiran dan membuat pertukaran nama serta
alamat surat menyurat di kaunter-kaunter yang disediakan.
Mengikut rekod, jumlah tunggakan Cukai Taksiran keseluruhan di kawasan PJS
adalah berjumlah RM8,074,006.23 melibatkan 11,796 pegangan. Daripada jumlah
tersebut, RM727,050.82 merupakan tunggakan bagi kediaman kos rendah manakala baki RM7,346,955.41 tunggakan bagi pegangan selain kos rendah.
Tarikh akhir pembayaran Cukai Taksiran bagi penggal Januari – Jun 2024 akan
berakhir pada 29 Februari 2024. Oleh itu, Majlis menggalakkan orang ramai yang
tinggal di kawasan-kawasan yang berhampiran untuk mengambil kesempatan
menjelaskan bayaran Cukai Taksiran semasa dan tertunggak sepanjang tempoh 2
hari kempen diadakan.
Majlis juga menyediakan cenderahati kepada pembayar yang menjelaskan cukai
taksiran untuk tempoh setahun sebagai galakan dan penghargaan kepada pembayar
yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka.- MBPJ