KERJASAMA ANGKASA DAN SAMSUNG PERKUKUH EKOSISTEM PERNIAGAAN KOPERASI

  • August 1, 2023
  • 2 min read
KERJASAMA ANGKASA DAN SAMSUNG PERKUKUH EKOSISTEM PERNIAGAAN KOPERASI

Kerjasama strategik antara ANGKASA dengan Samsung Malaysia Electronics bakal memperkukuh ekosistem perniagaan koperasi khususnya dalam sektor inovasi dan teknologi sekali gus membuka ruang bagi gerakan ini mempelbagaikan penawaran produk kepada pengguna dan anggotanya.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama tersebut juga merupakan tanda kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh pemain industri kepada ANGKASA dan gerakan koperasi selain mengiktiraf potensi dan nilai besar yang dibawa gerakan ini kepada lanskap perniagaan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANGKASA dan Samsung Malaysia Electronics Malaysia di ibu pejabat ANGKASA hari ini (1 Ogos 2023).

Kerjasama tersebut telah ditandatangani oleh Datuk Seri Dr. Abdul Fattah yang mewakili ANGKASA dan Samsung Malaysia Electronics diwakili oleh Presidennya, Encik Denny Kim.

Melalui kerjasama tersebut, ANGKASA akan menjadi salah satu pembekal produk keluaran Samsung dan bakal dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa pertama melihat koperasi boleh mendapatkan bekalan produk melalui sistem dalam talian iaitu JimatBiz dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran. Koperasi mempunyai kebebasan untuk menjual atau menyimpan barang tersebut bergantung strategi perniagaan mereka.

Untuk fasa kedua dan seterusnya, pengguna boleh mendapatkan peranti Samsung melalui anak syarikat ANGKASA, MyANGKASA Holdings Sdn Bhd dan pengguna diberikan kemudahan membeli secara dalam talian dan mempunyai pilihan membayar secara ansuran melalui potongan gaji.

“Ciri tambahan ini adalah sejajar dengan matlamat ANGKASA untuk memperkasakan koperasi dan anggotanya serta menyediakan akses kepada peranti berkualiti tinggi yang berupaya meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka.

Kerjasama ini juga mampu merebut sebahagian besar pasaran, sekurang-kurangnya dalam kalangan lebih tujuh juta anggota koperasi di seluruh negara.

ANGKASA juga berharap kerjasama ini menjadi pendorong kepada lebih banyak lagi kerjasama dengan pemain industri lain di luar sana, sekaligus memperkuatkan ekosistem koperasi yang memberi manfaat besar kepada anggota koperasi dan masyarakat umum,” jelas beliau.

Encik Denny Kim pula dalam ucapannya meluahkan rasa teruja terhadap kerjasama ini dan berharap jenama Samsung dapat meneroka ruang pasaran yang lebih luas dan terus mendapat tempat di hati pengguna Malaysia, khususnya anggota koperasi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Anggota-Anggota Lembaga ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung Malaysia Electronics, Dato’ Roh Jae Yeol dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *