Kertas kajian kenaikan elaun sara hidup pelajar tajaan MARA bentang pada kabinet hujung bulan ini
KUALA LUMPUR: Kertas kerja kajian untuk menaikkan kadar elaun sara hidup pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan dibentangkan kepada kerajaan hujung bulan ini.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kajian itu bukan sahaja melibatkan kadar elaun sara hidup pelajar di luar negara, malah turut membabitkan pelajar di dalam negara.
“Dahulu sewa rumah seorang boleh dapat (sekitar) £80 ke £120 seminggu, (tetapi) sekarang tidak boleh dapat harga begitu.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Program Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi di sini hari ini.
Jelas Mahdzir, kajian dilakukan memandangkan ramai pelajar terkesan dengan kos sara hidup khususnya di negara United Kingdom, Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Australia yang membabitkan kos elektrik, air, gas, pengangkutan awam dan sewa rumah.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Keluarga Malaysia akan menaikkan elaun sara hidup pelajar tajaan MARA.
Pihak MARA tambahnya, dalam peringkat mendapatkan maklum balas daripada lain-lain kementerian dan agensi yang ada kaitan dengan tajaan pelajar.
Keputusan kata Mahdzir akan dibuat bagi menentukan jumlah kenaikan bagi setiap pelajar berdasarkan lokasi dan negara.