Kuala Lumpur, 18 Mei 2026 – Dalam perjuangan menegakkan kebenaran pasti hadir bersama
ancaman, pengkhianatan dan perebutan kuasa yang berbahaya. Konspirasi, sebuah filem aksi thriller
terbaharu Ghaz Abu Bakar, bakal membawa penonton menyelami dunia penuh debaran,
pengkhianatan dan konflik bermula 21 Mei 2026 di pawagam seluruh Malaysia.

Diterbitkan oleh Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films serta Primeworks Studios sebagai
rakan pemasaran rasmi, Konspirasi menampilkan barisan pelakon hebat seperti Dato’ Adi Putra,
Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis, Roy Azman
dan Esma Daniel.
Sebuah naskhah intens yang menggabungkan elemen aksi, siasatan siber serta
pergelutan politik dalam sebuah pengalaman sinematik yang mendebarkan.
Mengangkat genre political thriller, aksi dan siasatan siber, Konspirasi mengisahkan tentang
Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menerima maklumat sulit mengenai sebuah
pelayan tersembunyi yang menyimpan senarai ahli politik korup serta transaksi kewangan luar negara.
Demi memastikan maklumat tersebut tidak jatuh ke tangan pihak tertentu, Tan Sri Kamil (Roy Azman)
mengarahkan pasukan elit diketuai Adli (Dato’ Adi Putra) bersama Ily (Shiqin Kamal), Dhani
(Hisyam Hamid), Maya (Alicia Amin) melancarkan satu operasi sulit berisiko tinggi.
Namun, operasi tersebut bertukar menjadi malapetaka apabila sebahagian data mula bocor ke media
dan laman gelap sehingga mencetuskan krisis politik negara. Kepercayaan terhadap SPRM mula
dipersoalkan, di samping desas-desus tentang kewujudan pengkhianat dari dalam organisasi semakin
menguat. Dalam tindakan merungkai dalang sebenar, pasukan Adli mula menyedari bahawa mereka
bukan sahaja berdepan permainan politik tetapi turut terperangkap dalam konspirasi dahsyat
melibatkan serangan siber berskala besar, manipulasi kuasa serta ancaman asing yang mahu
melemahkan negara dari dalam.
“Konspirasi bukan sekadar filem aksi tetapi sebuah gambaran tentang bagaimana kuasa, ketamakan
dan pengkhianatan boleh menghancurkan kepercayaan. Kami ingin menunjukkan bahawa perjuangan
menegakkan kebenaran sentiasa hadir bersama risiko, tekanan dan pengorbanan” ujar Ghaz Abu
Bakar, pengarah.
Konspirasi tampil sebagai sebuah filem yang bukan sahaja menghiburkan, malah membawa penonton
menyelami sisi gelap dunia kuasa dan manipulasi. Jadi tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang
untuk menyaksikan Konspirasi di pawagam bermula 21 Mei 2026. Bersedialah untuk sebuah
permainan kuasa yang bakal mengubah segala-galanya.



