KUALA LUMPUR: Perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja gig akan mula aktif selepas
berdaftar dengan penyedia perkhidmatan platform dan menerima tugasan pertama.
Mekanisme perlindungan secara postpaid atau pascabayar ini akan memperuntukkan perlindungan
bagi tempoh setahun, sebaik pekerja gig memenuhi dua prasyarat awal tersebut.
Perincian sedemikian diutarakan ketika sesi pembentangan Rang Undang-Undang Akta Pekerja Gig
2025 (Akta 872) untuk bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan pendekatan perlindungan itu sekali gus
meredakan kebimbangan sekiranya pekerja gig menjana pendapatan secara separuh masa atau
sambilan.
“Selepas memenuhi dua prasyarat awal, status perlindungan PERKESO masih aktif walaupun
pekerja gig tidak menerima tempahan selama beberapa hari atau belum sempat mencukupkan
bayaran caruman minimum, iaitu RM13.10 sebulan.
“PERKESO kekal komited untuk memudah cara dan menangani sebarang kerenah birokrasi terhadap
penguatkuasaan Akta 872, demi memastikan hak pekerja gig kekal terbela khususnya dalam
mendapat perlindungan keselamatan sosial,” menurut kenyataan dikeluarkan PERKESO, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kebimbangan Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM) mengenai
jaminan dan status perlindungan PERKESO mereka melalui skim LINDUNG Kendiri.
Mengulas lanjut, PERKESO menjelaskan bahawa Seksyen 83(e) Akta 872 memperuntukkan
kewajipan penyedia platform untuk memaklumkan kepada pekerja gig supaya membayar baki
caruman bulanan minimum.
Peruntukan undang-undang ini terpakai sekiranya jumlah caruman yang dipotong oleh penyedia
platform tidak mencapai kadar minimum caruman berdasarkan pendapatan bulanan yang
diinsuranskan seperti dipilih di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
“Pekerja gig juga boleh menyemak jumlah caruman terkumpul dan status perlindungan menerusi
aplikasi Prihatin,” menurut kenyataan sama.



