KOPSYA SERAH PEMBIAYAAN BERJUMLAH RM122 JUTA BAGI TEMPOH 2021 HINGGA 2023
Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) telah menyerahkan pembiayaan berjumlah RM122 juta bagi tempoh 2021 sehingga 2023 untuk membantu koperasi menjalankan serta memperkasakan lagi aktiviti perekonomian yang memberi manfaat kepada anggota koperasi dan juga masyarakat.
“Untuk tahun 2023 sahaja, sejumlah RM100 juta pembiayaan telah dikeluarkan kepada koperasi di mana RM90 juta diberikan kepada koperasi anggota untuk menjalankan aktiviti kredit manakala RM10 juta lagi untuk koperasi anggota menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi.”
Demikian ucapan Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi KOPSYA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika merasmikan Majlis Berbuka Puasa KOPSYA yang telah diadakan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia (KPGA), Kuala Lumpur pada 3 April 2023.
Tambahnya lagi, peruntukan tersebut telah berjaya membantu lebih kurang 30 buah koperasi di seluruh Malaysia untuk mengembangkan jualan produk dan perkhidmatan mereka. KOPSYA juga sentiasa bersedia membantu koperasi yang memerlukan sekali gus memperkasakan jenama KOPSYA itu sendiri sebagai platform pilihan koperasi pada masa hadapan.
Majlis menyaksikan penyerahan replika cek kepada enam buah koperasi yang menerima pembiayaan tersebut iaitu Koperasi Giat Maju Berhad (KGMB), Koperasi COOP2U Berhad (COOP2U), Koperasi Borneo Malaysia Berhad, Koperasi Kariah Masjid An-Nur Rembau Berhad, Koperasi Muda Maju Jaya Malaysia Berhad (KOMUJA) dan Koperasi Mega Pantai Timur Berhad (KOMEGA).
Dalam majlis yang sama turut diadakan serahan pelaburan serta syer dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM4.6 juta daripada pihak koperasi. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menjelaskan nilai pelaburan itu jelas menunjukkan keyakinan terhadap KOPSYA sebagai institusi yang menawarkan produk kewangan Islam berinovatif kepada gerakan koperasi.
Bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan Ramadan ini, pihak KOPSYA juga turut menyerahkan sumbangan duit raya kepada 10 orang pelajar dari Pusat Jagaan Darul Sakinah ANGKASA (PJDS) yang merupakan pusat kebajikan untuk anak-anak yatim, asnaf dan fakir miskin yang ditubuhkan oleh ANGKASA.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato’ Umar Sarim Saidin, Pengarah SKM Cawangan Wilayah Persekutuan, Haji Efendee O.P Andu, Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Anggota-Anggota Lembaga Angkasa yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dr. Haji Mohd Azlan Yahya dan Dato’ Che Mohd Shukree Che Isa serta Timbalan Pengerusi KOPSYA, Haji Zaharuddin Alias, barisan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri dan Setiausaha Eksekutif ANGKASA, Encik Hasnan Haji Mustapha.