KPDN Kenal Pasti Isu Teknikal Penjanaan Kuota SKDS dan SKPS

PUTRAJAYA, 7 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti berlaku isu teknikal melibatkan integrasi sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sistem MySubsidi KPDN yang menjejaskan penjanaan kuota subsidi bagi pemegang fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Menurut kenyataan rasmi, isu tersebut melibatkan pemegang fleet card yang melakukan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pendaftaran kenderaan baharu atau pertukaran hak milik kenderaan dalam tempoh 1 hingga 28 April 2026.

Susulan isu integrasi sistem berkenaan, sebahagian pemegang fleet card terlibat didapati tidak menerima kuota subsidi bahan api bermula 1 Mei 2026.KPDN memaklumkan pihaknya kini sedang melaksanakan tindakan pembetulan serta semakan bersama pihak berkaitan bagi memastikan pengemaskinian data dan penjanaan semula kuota dapat diselesaikan segera.

Bagi mempercepatkan proses semakan dan pengemaskinian, pemegang fleet card SKDS dan SKPS yang terkesan diminta mengemukakan maklumat syarikat termasuk nombor pendaftaran SSM, nombor pendaftaran kenderaan serta tarikh pembaharuan cukai jalan atau pertukaran hak milik.Maklumat tersebut perlu dihantar sebelum 8 Mei 2026 jam 5 petang melalui pautan yang disediakan oleh KPDN.

Menurut kementerian itu, kuota subsidi bagi pemegang fleet card yang terkesan dijangka dapat dijana semula dalam tempoh 9 hingga 11 Mei 2026.“KPDN amat menghargai kerjasama semua pihak dan komited memastikan proses penyaluran subsidi kepada golongan serta sektor yang layak dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” menurut kenyataan tersebut.

Sebarang pertanyaan atau aduan boleh dikemukakan melalui Pusat Panggilan SKPS atau Portal MySubsidi KPDN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *