Lanjutan program Jamin Kerja-Insentif Penggajian beri tumpuan kepada golongan mudah terjejas
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), agensi di bawah
Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang diamanahkan untuk melaksanakan Program
JaminKerja-Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Bajet 2022, menyambut baik
keputusan Kerajaan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Program JKIP ini selama
enam (6) bulan lagi sehingga 31 Disember 2022.
Dengan pengangguran berada pada
kadar 3.8 peratus iaitu lebih tinggi berbanding sebelum pandemik melanda, intervensi
dan sokongan Kerajaan bagi terus merancakkan pasaran buruh negara adalah amat penting.
PERKESO juga yakin dapat memenuhi mandat Kerajaan untuk menyediakan 55,000
peluang pekerjaan kepada golongan rentan sepanjang pelanjutan ini.
Sasaran tersebut adalah bagi menyokong matlamat Program JKIP untuk mewujudkan sebanyak 300,000 peluang pekerjaan bagi sepanjang tahun 2022.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri telah mengumumkan pelanjutan Program JKIP, yang telah tamat tempoh asalnya pada 30 Jun 2022, sewaktu merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, pada Isnin lalu.
Lanjutan program ini akan memberikan tumpuan kepada usaha pengambilan pekerja
daripada sektor pelancongan, pekerja yang menggantikan pekerja asing (program
Malaysianization), Orang Kurang Upaya (OKU), wanita dan pekerja yang kehilangan
pekerjaan.
Dengan peruntukan sedia ada Program JKIP sebanyak RM2 bilion di bawah Bajet 2022,
sebanyak RM475 juta akan disalurkan oleh PERKESO sebagai insentif kepada para
majikan yang mewujudkan peluang pekerjaan dan membuat pengambilan kepada
seramai 55,000 pekerja daripada golongan mudah terjejas ini.
Untuk sepanjang tempoh pelanjutan JKIP ini, syarat permohonan dan kadar insentif kepada majikan serta.bantuan mobiliti kepada pekerja yang diambil, kekal seperti sebelum ini.
Sementara itu, Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang melabuhkan
tirainya kelmarin, 27 Julai 2022, telah dihadiri hampir 14,000 pengunjung, Rata-rata
daripada mereka adalah dalam kalangan pencari kerja daripada pelbagai kategori seperti lepasan sekolah, para graduan, penganggur dan pekerja yang ingin mengembangkan kerjaya atau mencari peluang yang lebih baik.
Ekspo kerjaya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur
selama 5 hari bermula dari 23 Julai 2022 ini mencipta kejayaan apabila membantu
seramai 1,712 pencari kerja memperoleh pekerjaan, manakala 10,698 pencari kerja
pula berjaya ke peringkat temu duga kedua.
Ekspo ini merupakan karnival kerjaya terbesar yang pernah dianjurkan oleh KSM
menerusi PERKESO, di mana lebih 1,000 majikan daripada pelbagai industri dan
perusahaan sosial (social enterprise) mengambil bahagian dengan menawarkan lebih daripada 30,000 peluang pekerjaan.
Menariknya, peluang-peluang untuk pencari kerja menceburi sektor gig dan keusahawanan juga disediakan di ekspo kerjaya ini.
Penganjuran program ini telah turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of
Records sebagai ekspo kerjaya terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.
Ekspo ini bukan sahaja tertumpu kepada penawaran peluang pekerjaan dalam sektor formal dan informal, malah turut dimeriahkan dengan penganjuran pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan debat, slot-slot ceramah, pertandingan sukan maya (e-Sports), serta ‘Career Exploration’ untuk mendedahkan para pelajar di peringkat sekolah menengah mengenai kemahiran yang diperlukan oleh pasaran buruh semasa serta masa hadapan.
Program ini juga diserikan lagi dengan persembahan hiburan dan juga aktiviti cabutan bertuah yang diadakan setiap hari.
Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs, juga di bawah KSM, memainkan peranan
yang sangat penting dalam menentukan kejayaan penganjuran ekspo kerjaya ini, serta
karnival-karnival kerjaya lain di seluruh negara, juga pelaksanaan Program JKIP dan
perkhidmatan pekerjaan PERKESO.
Sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan, PERKESO komited untuk terus mempergiat
usaha dan memperkenal pelbagai inisiatif untuk merancakkan lagi pasaran buruh negara.
Pada masa yang sama, PERKESO akan terus aktif melaksanakan intervensi awal bagi
menambah baik pasaran buruh semasa bagi mengatasi isu ‘mismatch’, ‘underemployment’ dan juga kekurangan tenaga kerja dalam beberapa sektor seperti sektor pembuatan dan perhotelan.
PERKESO menyeru semua Keluarga Malaysia yang sedang mencari peluang pekerjaan,
sama ada dalam kategori eksekutif dan bukan eksekutif, untuk berdaftar dengan Portal
MYFutureJobs.
Pencari kerja akan diberikan akses kepada pelbagai peluang pekerjaan
dan boleh menyertai karnival kerjaya serta program-program kebolehpekerjaan yang
dianjurkan PERKESO di seluruh Malaysia sepanjang tahun.