MTPN Selangor tingkat kesedaran pengguna dari penipuan produk tiruan dan perkhidmatan tidak bertauliah

  • August 2, 2022
  • 4 min read
MTPN Selangor tingkat kesedaran pengguna dari penipuan produk tiruan dan perkhidmatan tidak bertauliah

Majlis Tindakan Pengguna Negara, Negeri Selangor (MTPN SELANGOR) dan Industri Kecantikan tempatan meminta kerajaan mengambil perhatian dan tindakan terhadap masalah – masalah yang dihadapi oleh Industri Kecantikan, ini termasuk ada pengusaha produk Kecantikan tiruan melambakkan produk mereka di pasaran, penawaran perkhidmatan Kecantikan tidak bertauliah, pengguna estetik tidak faham tentang prosedur perubatan estetik dan lain – lain lagi.

Yang Dipertua MTPN SELANGOR Dr Gavin Voon berkata, ini adalah permintaan atau saranan sepakat daripada Forum dan dialog Perubatan, Kecantikan dan Kesihatan yang dianjurkan bersama – sama oleh MTPN SELANGOR; Medical Device Authority, Kementerian Kesihatan dan Institut Pensijilan Kecantikan Antarabangsa (IBCI) baru – baru ini.

Beliau berkata, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna terhadap hak mereka agar tidak mudah terpedaya dengan kegiatan pihak yang tidak mematuhi undang-undang, penipuan produk tiruan, penawaran perkhidmatan tidak bertauliah serta produk yang tidak berkualiti.

Seramai 70 pemain industri kecantikan, perubatan dan kecantikan dari Lembah Klang; wakil daripada Kementerian Kesihatan menyertai forum dan dialog ini.

Lapan ahli panel jemputan hadir membentangkan isu semasa mengenai perubatan, kecantikan dan kesihatan iaitu Wakil MDA Encik Ahmad,wakil Bahagian Regulator Farmasi Negara, Puan Asnida ;Pengasas IBCI, Dr Darren Soo; Pakar Kecantikan dari Rosewhite, Yoga Lin; Pengarah Pembangunan Perniagaan MAC Innovations Sdn Bhd (MAC Innovations), Agnes Lee; wakil dari e-beauty Group, Aedy Adnan; Presiden Persatuan Genetik Sedunia, Dr Lim S.W dan Timbalan Presiden Lembaga Kecantikan Negara, Encik Alston Tan.


Antara topik yang dibincangkan ialah produk selamat tanpa suntikan, mengenali produk selamat di pasaran, penipuan testimoni, beza antara pakar kecantikan dan doktor praktis kecantikan, ujian genetik untuk pengurusan kanser dan apa perlindungan untuk pengusaha jika berlaku kecelakaan kepada pengguna.

Turut hadir, Ketua Eksekutif MDA YBhg Tuan Ahamd Shariff,Timbalan Yang DiPertua MTPN Selangor, Gilbert Pang Jiun Tatt dan lain – lain lagi.

Forum dan dialog yang pertama kali dianjurkan ini diadakan di Medical Device Authority, Kementerian Kesihatan, Cyberjaya .

Dr Gavin Voon menambah, produk tiruan yang berkenaan bukan sahaja berkualiti rendah, malah berkemungkinan memberi kesan buruk kepada penggunanya disebabkan tiada kawalan terhadap ramuan yang digunakan untuk menghasilkan produk tiruan itu.

Agnes Lee menyarankan pihak berkuasa mengambil perhatian masalah pengguna estetik tidak faham tentang prosedur perubatan estetik kerana tidak mahu lebih ramai terdedah dengan pelbagai risiko termasuk kematian.

“Kebanyakan pengguna estetik, keliru. Mereka nak buat macam-macam pembedahan, di hidung, buah dada sebab cantik, tetapi mereka tidak buat kajian mendalam. Kalau buat pembedahan tanpa doktor diiktiraf dengan lesen sah (estetik), ia boleh cenderung kepada banyak kesan mudarat.

Yoga Lin pula mengakui bukan mudah untuk memperoleh LCP malah menyifatkan ia seperti tidak adil bagi mereka yang lebih menumpukan kemahiran kecantikan berbanding perubatan.

“Doktor adalah doktor. Pakar estetik adalah pakar estetik. Kalau doktor, bukan profesional dalam bidang estetik, tetapi mereka juga mempelajari daripada orang lain tetapi memperoleh LCP dan boleh melakukan suntikan dan pembedahan.


“Hanya kerana ada doktor dapat lesen LCP, ia tidak adil bagi kami pakar kecantikan dan estetik.

“Jadi, apakah kaedah terbaik untuk industri seperti kami untuk jalankan prosedur suntikan untuk kecantikan?di mana kami boleh dapatkan LCP atau lesen berkaitan?” soalnya.

Selain itu, Aedy Adnan berkata, lelaki mula menguasai dan menerokai dunia perniagaan kosmetik, namun yang menariknya, golongan ini lebih suka mencabar diri bersaing lebih sihat.

“Jika dahulu, kebanyakan pengasas dan usahanita produk kecantikan adalah wanita, tetapi tren sekarang sudah berubah.

Dr Lim S.W berkata, kepakaran genetik bukan sahaja membantu dalam gaya hidup, tetapi juga dalam industri kecantikan.

“Setiap orang mempunyai jenis kulit berbeza, jadi ia berkait rapat dengan genetik salasilah diri.Jadi, analisis genetik antara prosedur yang membantu melihat kesesuaian produk untuk digunapakai.

Gilbert Pang berkata, pihaknya sangat berharap dengan penganjuran seperti itu mencapai objektif untuk memberi didikan dan kefahaman kepada peserta mengenai kepentingan mendapatkan khidmat pengamal perubatan berlesen dan berdaftar dengan MDA dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan.

“Kebanyakan usahawan kecantikan dan pakar kecantikan atau ‘beautician’ terlalu memfokuskan kepada perniagaan bidang itu, namun kurang menekankan kepentingan dan keperluan pemilikan lesen sah KKM atau NPRA.”

Dr Darren Soo berkata,Kami mahu pengguna memperoleh pengetahuan profesional dalam memahami industri kecantikan, selain meningkatkan sistem pendidikan dalam industri kecantikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *