Lawatan media influencer cuti-cuti Malaysia 2023 Teroka Produk Pelancongan Menarik di Perak
TAIPING, 14 Julai 2023 – Seramai lapan pengamal media terdiri daripada wakil media elektronik, penghasil kandungan serta pempengaruh media sosial dibawa menyertai Program Lawatan Media Influencer Cuti-Cuti Malaysia Perak 2023 anjuran Tourism Malaysia selama tiga hari dua malam untuk meneroka produk-produk ekopelancongan, pelancongan minat khas dan gastronomi di sekitar Taiping, Kuala Kangsar dan Kerian.
Berlangsung dari 12-14 Julai 2023, program lawatan suai kenal tersebut bertujuan meningkatkan penglibatan media bagi membantu mempromosikan produk-produk pelancongan domestik yang dilawati secara dalam talian, khususnya di media sosial.
Antara lokasi yang diketengahkan dalam lawatan kali ini ialah pengalaman bermalam di Taiping Bamboo Resort yang terletak di dalam dusun durian di kaki Bukit Larut. Produk pelancongan tersebut merupakan antara salah satu destinasi yang ditawarkan dalam Pakej Durian Tourism 2023 di bawah kelolaan Tourism Malaysia.
“Para peserta memulakan eksplorasi dengan menikmati makan tengah hari di Dusun Organik Haji Idrus di Kampung Ara Panjang, Manong. Di Taiping, mereka berpeluang bersantai di Taman Tasik Taiping serta menyertai aktiviti sukan lasak ATV yang menguji adrenalin di ATV Adventure Park Larut.
Selain itu, para peserta turut menyaksikan pelancaran Denai Konservasi di Maxwell Base Camp, Bukit Larut yang dirasmikan oleh Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.
Maxwell Base Camp ialah satu projek kelestarian yang mengutamakan biodiversiti, pemuliharaan alam semula jadi, pengurangan karbon serta kemampanan alam sekitar. Selain dua tapak perkhemahan, terdapat empat denai yang digunakan untuk latihan larian pendakian mahupun aktiviti riadah.
Pelancaran terbaharu Denai Konservasi, justeru merupakan denai kelima yang dibangunkan untuk tujuan pembelajaran berkonsepkan informatif dan interaktif. Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai kepelbagaian spesies flora dan fauna yang terdapat di Maxwell Base Camp dengan hanya mengimbas kod QR yang dipaparkan pada papan tanda di sepanjang laluan tersebut.
Selain itu, lokasi lain yang turut dilawati oleh para peserta ialah produk-produk ekopelancongan di sekitar Ban Pecah dekat Tanjung Piandang, termasuk menikmati hidangan istimewa mi udang dan kari ikan sembilang.
Dato’ Dr. Ammar berkata, program ini diharap dapat mengeratkan jalinan kerjasama bersama pihak media serta penggiat industri pelancongan tempatan selain memberikan pendedahan kepada peserta tentang produk-produk pelancongan di setiap destinasi yang dilawati.
“Menerusi publisiti yang diraih melalui penganjuran program ini, kita harap usaha ini dapat meningkatkan lagi permintaan orang ramai untuk melancong serta menjana ekonomi masyarakat setempat sekali gus menyokong perencanaan sambutan ulang tahun ke-150 bandar Taiping dan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.