Lawatan YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ke CARSOME Certificate Lab
KLANG, 6 JULAI 2022 – Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini telah mengadakan lawatan ke Carsome Certified Lab di Bandar Bukit Raja, Klang. Lawatan kerja tersebut turut diiringi oleh YBhg. Datuk Azman Bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta pegawai-pegawai kanan Kementerian.
Tujuan lawatan ini adalah untuk meninjau perkhidmatan yang disediakan oleh Carsome yang merupakan salah satu syarikat tempatan yang telah menerima Anugerah Syarikat Bertaraf Unicorn daripadaPerdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai di antara syarikat “startup” yang berjaya di Malaysia.
Carsome merupakan platform e-dagang kereta bersepadu yang terbesar di Asia Tenggara dan syarikat bertaraf “Unicorn” yang pertama di Malaysia. Carsome menyediakan perkhidmatan pembelian, penjualan dan pembiayaan kenderaan dengan menggunakan teknologi yang bermutu tinggi dan boleh menjadi penanda aras dalam sektor perdagangan pengedaran terutamanya bagi subsektor kenderaan motor.
YB Menteri telah melancarkan logo “Carsome Certified” yang merupakan standard baru untuk membeli kereta pramilik di Malaysia. Logo “Carsome Certified” adalah status yang diberi kepada kenderaan yang telah melepasi 175 poin pemeriksaan Carsome untuk memastikan setiap kenderaan Carsome Certified adalah bebas daripada banjir dan kemalangan teruk, serta dijual dengan harga tetap tanpa sebarang caj tersembunyi, jaminan wang dikembalikan dalam tempoh lima (5) hari, dan satu (1) tahun waranti.
Setiap kereta Carsome Certified juga telah menjalani “Proses Pembaikpulihan Carsome Certified” yang merangkumi pembaikan mekanikal dan am, pemulihan badan dan cat, perincian professional serta semakan kualiti yang ketat oleh juruteknik yang mahir dan berpengalaman di Carsome Certified Lab.
Kementerian sentiasa menyokong dan menyambut baik inisiatif dan usaha-usaha khususnya dalam sektor pengedaran kenderaan motor dalam meningkatkan mutu perkhidmatan serta jaminan perlindungan pengguna selaras dengan peranan Kementerian ini dalam melindungi kepentingan pengguna.