Majlis Sambutan Hari Ibu dan Bapa Kukuhkan Silaturahim Masyarakat India Kuala Langat

Kuala Langat, 21 Jun 2025 – Persatuan Kesenian Thalapathi Narpani Mandram Malaysia dengan kerjasama IPF Bahagian Kuala Langat telah berjaya menganjurkan Majlis Sambutan Hari Ibu dan Bapa 2025 di Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, Selangor. Majlis yang berlangsung pada Sabtu malam itu bertujuan menghargai pengorbanan serta jasa ibu bapa dalam membentuk masyarakat penyayang dan harmoni.

Majlis penuh bermakna itu dirasmikan oleh Datuk Anbumani Balan, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg. Dato’ Sri Ramana Ramakrishnan. Turut hadir memeriahkan acara ialah:
Dato’ Loganathan, Presiden IPF Kebangsaan
Dato’ Zurihan bin Yusop, Penyeleras DUN Sijangkang merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat
Dato’ Baskaran Muniyandy, Presiden Thalapathi Narpani Mandram Malaysia, merangkap Ketua Bahagian IPF Kuala Langat
Encik Panalsalwa A/L R. Kuppan, Naib Pengerusi PKR Kuala Langat merangkap Ahli Majlis Kuala Langat (Zon 11)



Pelbagai persembahan kebudayaan telah dipersembahkan, sekaligus mencerminkan keunikan budaya India tempatan dan peranan penting ibu bapa dalam mewarisi nilai dan warisan bangsa.
Antara kemuncak acara ialah penyampaian sari kepada ibu-ibu dan baju kepada para bapa sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah banyak berkorban demi keluarga dan pembangunan masyarakat.
Menurut Dato’ Baskaran Muniandi, sambutan ini adalah salah satu usaha NGO untuk terus mendekati komuniti melalui pendekatan berasaskan nilai kekeluargaan dan kebudayaan.


“Ibu bapa adalah tulang belakang keluarga dan tiang utama dalam pembinaan masyarakat yang bersatu. Peranan mereka bukan sekadar menjaga anak-anak, tetapi mendidik, membentuk jati diri, dan menyumbang kepada keharmonian bangsa,” ujar beliau.



Majlis diakhiri dengan jamuan ringan dan sesi bergambar kenangan bersama pemimpin-pemimpin masyarakat dan semua yang hadir.




