MAKATI, 4 Mac 2026 – Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berteraskan rakyat menerusi penyertaan dalam Forum Peringkat Tinggi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) 2026.
Forum yang berlangsung di Makati, Filipina itu membawa tema “Navigating Our Future, Together: Empowering People for a Resilient and Cohesive ASEAN.”
Malaysia diwakili oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan bagi pihak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Forum tersebut menghimpunkan menteri-menteri ASEAN, pegawai kanan kerajaan, rakan pembangunan serta wakil masyarakat sivil, sektor swasta, akademia dan delegasi belia dari seluruh Asia Tenggara.
Program itu dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial Filipina selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dan menjadi platform penting bagi membincangkan hala tuju pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045, susulan tamatnya Pelan Tindakan ASCC Blueprint 2025.
Dalam ucapannya, Khairul Firdaus menegaskan kekuatan ASEAN terletak pada rakyatnya dan usaha memperkasa komuniti perlu terus menjadi teras agenda pembangunan serantau.
Beliau turut mengetengahkan usaha Malaysia dalam memperkukuh perlindungan sosial, memperluaskan akses kepada pendidikan dan penyertaan budaya, serta menggalakkan inovasi dan keterangkuman digital.
Menurutnya, penglibatan masyarakat yang lebih luas penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.
Forum tersebut turut membincangkan pelbagai cabaran baharu yang dihadapi rantau ini termasuk transformasi digital, perubahan demografi, tekanan perubahan iklim serta isu ketidaksamaan sosial.
Perbincangan juga menekankan kepentingan kerjasama merentas sektor dan pengukuhan hubungan antara tiga tonggak utama ASEAN iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi dan Sosio-Budaya.
Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN dalam membentuk masa depan rantau yang lebih bersatu, inklusif dan makmur menjelang 2045.
Melalui penyertaan aktif dalam platform serantau seperti forum ini, Malaysia kekal komited memperkukuh ASEAN yang berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran global secara bersama.



