MAKATI, 3 Mac 2026 – Malaysia terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda sosio-budaya ASEAN menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Pegawai Kanan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (SOCA) ke-40 yang berlangsung di Makati, Filipina.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan pegawai kanan daripada semua negara anggota ASEAN bagi membincangkan hala tuju strategik serta cabaran sosio-budaya yang semakin kompleks di rantau ini.
Hasil perbincangan akan dibentangkan untuk pengesahan rasmi dalam Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-35 yang melibatkan menteri-menteri berkaitan.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shahabuddin Abu Sohot, yang turut menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada mesyuarat tersebut.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen berterusan Malaysia terhadap kerjasama serantau serta pencapaian negara dalam memperkukuh agenda komuniti ASEAN.
Beliau turut mengimbas beberapa perkembangan penting, termasuk kepimpinan Malaysia dalam ASEAN pada tahun 2025 yang membawa kepada pengenalan Visi Komuniti ASEAN 2045, pengukuhan struktur ASEAN serta penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN.
Menurut Shahabuddin, mesyuarat SOCA ke-40 menjadi kesinambungan penting dalam usaha kolektif negara anggota ASEAN untuk memperkukuh agenda sosio-budaya yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Malaysia juga memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti ASEAN apabila MOTAC kini mengetuai lima badan sektor di bawah tonggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).
Peranan tersebut memperkukuh kedudukan Malaysia dalam memacu inisiatif pembangunan inklusif, mampan dan berteraskan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama ASCC iaitu memperkasakan keluarga yang berdaya tahan, pembangunan inklusif, pembangunan belia dan inovasi, serta masa depan yang lebih selamat dari segi makanan dan mesra iklim.
Langkah tersebut bertujuan membina ASEAN yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan melalui pengukuhan penyertaan masyarakat, perlindungan golongan rentan serta pemupukan identiti komuniti ASEAN yang lebih kukuh.
Malaysia turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam memacu pembangunan serantau yang berteraskan inovasi, kemakmuran bersama dan kesejahteraan rakyat.



