MARA taja 1,300 pelajar cemerlang ke luar negara

  • October 10, 2022
  • 1 min read
MARA taja 1,300 pelajar cemerlang ke luar negara

BANTING, 10 Okt. — Majlis Amanah Rakyat (MARA) menaja 1,300 pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke luar negara tahun ini.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, MARA membelanjakan antara RM600 ribu hingga RM1.2 juta bagi setiap pelajar.

“Mereka adalah anak-anak dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang cemerlang dan dihantar belajar ke luar negara kerana kita nak bagi mereka peluang seterusnya kembali memberi sumbangan kepada negara sama ada menjadi jurutera, peguam, doktor mahupun arkitek.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Mini Karnival Aspirasi Keluarga Malaysia FELCRA di Kolej MARA Banting di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi FELCRA Bekalan & Perkhidmatan Sdn Bhd, Noorazli Said dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Sementara itu kata Mahdzir, penganjuran mini karnival oleh FELCRA di seluruh negara itu, adalah salah satu usaha agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk menyampaikan pelbagai perkhidmatan.

Antaranya bidang pendidikan, kesihatan dan keusahawanan kepada masyarakat di luar bandar.

Mini karnival itu antara lain turut menganjurkan aktiviti jualan murah barangan keperluan harian di bawah harga pasaran.

Sebelum ini Mini Karnival Aspirasi Keluarga Malaysia FELCRA diadakan di Rantau Panjang dan Machang di Kelantan dan Telemong di Terengganu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *