MET Malaysia: Amaran hujan berterusan di Sabah, Sarawak dan Labuan
PETALING JAYA: Hujan berterusan (waspada) dijangka berlaku melibatkan beberapa daerah di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula Rabu (12 Okt) ini.
Menurut satu kenyataan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), amaran itu dikeluarkan susulan hujan berterusan yang akan melanda beberapa kawasan di wilayah Sabah, Sarawak dan Labuan sehingga Jumaat, 14 Oktober nanti.
“Keadaan hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sarawak melibatkan daerah Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
Selain itu, keadaan sama turut dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat serta seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Labuan dalam tempoh Rabu, 12 Oktober 2022 sehingga Jumaat, 14 Oktober 2022,” katanya.
Dalam pada itu, hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sabah iaitu di Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat serta seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga lewat malam ini (10 Okt).
“Amaran Hujan Berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan” kata kenyataan berkenaan.