Peruntukan bajet bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar meningkat setiap tahun – Mahdzir Khalid

  • October 12, 2022
  • 2 min read
Peruntukan bajet bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar meningkat setiap tahun – Mahdzir Khalid

BANTING: Peruntukan bajet bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar meningkat setiap tahun, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut beliau, peruntukan untuk Kementerian Pembangunan luar bandar bertujuan untuk penyediaan prasarana-prasarana untuk rakyat dan pendidikan, termasuklah juga kelas-kelas tadika KEMAS.

“Ada peningkatan jumlah dan ada bajet yang diberi itu di luar daripada kebiasaan, misalnya diberi untuk internet desa, untuk internet kelas KEMAS,” ujar beliau ketika ditemui pemberita pada program Mini Karnival Aspirasi Keluarga Malaysia FELCRA di Kolej MARA Banting di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran mini karnival yang dijalankan di seluruh negara ini merupakan salah satu usaha agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi menyatukan semua perkhidmatan agensi yang terlibat di bawah satu bumbung termasuklah perkhidmatan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kesihatan.

Mengulas mengenai aspirasi Keluarga Malaysia, Mahdzir berkata, rakyat memberikan respons yang positif dan penerimaan yang baik terhadap gagasan yang dicetuskan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob ini.

Jelasnya, konsep keluarga Malaysia membawa maksud sebuah negara yang majmuk dengan pelbagai kaum, agama dan budaya yang mahu hidup sederhana, toleransi dan bekerjasama. Elemen keluarga Malaysia menitikberatkan kebersamaan dalam membina negara yang menolak semua bentuk fahaman ekstremis dan melampau.

Sementara itu, tegas beliau, kerajaan komited dalam membantu rakyat bagi mendapat pendidikan dan kehidupan lebih baik. Pemberian subsidi petrol dan arang batu dikawal oleh kerajaan merupakan antara contoh inisiatif yang diambil kerajaan supaya tidak membebankan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *