MBPJ, PBT TERBAIK MALAYSIA.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah dinobatkan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik Malaysia bagi Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) 2022. MBPJ mengekalkan penarafan 5 bintang tersebut dengan markah tertinggi 98.32% di kalangan 155 PBT di Malaysia dan memperolehi penilaian tertinggi bagi 3 kriteria melibatkan perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan penduduk/ pandangan penduduk.
YBhg. Tuan Mohamad Azhan bin Md. Amir, Datuk Bandar Petaling Jaya telah menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan sempena Majlis Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2023 anjuran KPKT pada 11-12 Mac 2023 bertempat di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Perak Darul Ridzuan.
Dengan bertemakan Perbandaran Madani, Negara Sejahtera, konvensyen ini dihadiri oleh hampir 2000 peserta yang terdiri daripada Datuk Bandar, Yang Dipertua, Setiausaha, Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan seluruh Malaysia. Konvensyen ini merupakan platform terbaik bagi memberi peluang kepada semua peserta berkongsi pengalaman dan berbincang untuk mencari pendekatan dan penyelesaian yang inovatif dan kreatif secara holistik dalam menangani isu-isu yang melibatkan pengurusan dan tanggungjawab PBT.
MBPJ juga telah diberi penghormatan menyertai pameran dan membuat pembentangan khas berhubung pelaksanaan Blueprint Petaling Jaya Smart, Sustainable & Resilient (PJSSR) 2030 : A New Paradigm’. Pembentangan telah disampaikan oleh YBrs. Puan TPr. Hajah Sharipah Marhaini Binti Syed Ali, Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya.
Sambutan peserta terhadap pameran dan pembentangan PJSSR2030 sebagai inovasi baru dalam transformasi institusi dan tadbir urus PBT amat menggalakkan dan MBPJ bersedia berkongsi pengalaman kepada semua PBT di Malaysia.