MDEC lancar geran kandungan Digital 2022
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, telah membuka permohonan baharu untuk Geran Kandungan Digital di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia 2022 (Geran Kandungan Digital 2022) bermula pada 14 Jun 2022.
Geran Kandungan Digital yang diperkenalkan sejak tahun 2021 ini bertujuan untuk membantu dan menggalakkan kesinambungan serta kemapanan pengamal industri kreatif negara selaras dengan norma baharu berikutan pandemik COVID-19.Saya melihat Geran Kandungan Digital 2022 ini sangat penting dalam membantu pencipta kandungan digital merealisasikan idea mereka ke dalam bentuk produk sedia untuk dipasarkan.
Pencipta kandungan digital memiliki pelbagai idea menarik tetapi mereka sukar memulai dan mendapatkan dana.Justeru, saya yakin melalui Geran Kandungan Digital 2022 ini, MDEC bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan malah membantu mereka dalam penghasilan kandungan digital yang boleh dipasarkan kerana idea mereka akan dinilai oleh panel yang terdiri daripada pakar industri.
Geran Kandungan Digital 2022 menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000.00 kepada syarikat, perusahaan dan syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP) untuk membangunkan kandungan baharu atau sedia ada di pasaran dalam bentuk animasi, komik digital, media interaktif dan permainan digital.Pemohon terpilih akan dijemput ke sesi pembentangan yang dijadualkan pada Ogos 2022, sebelum kelulusan diumumkan menjelang September 2022.
Selepas mendapat kelulusan, penerima geran akan diberi tempoh selama enam bulan bagi menyiapkan kandungan digital mereka, merangkumi sama ada Filem Animasi Pendek, Episod Pilot, Treler Pendek, kandungan untuk Pengumuman Pesanan Khidmat Awam (PKA), Permainan Digital/ Media Interaktif Lengkap (Demo atau Prototaip) atau Komik Digital/ Komik Bergerak Lengkap.1Tahun lalu, menerusi Geran Kandungan Digital 2021, MDEC telah menerima 111 permohonan. Sejumlah RM1.9 juta geran telah diluluskan yang memberi manfaat kepada 39 pemohon.
Geran Kandungan Digital 2022 merupakan sebahagian daripada siri inisiatif pembiayaan yang direka untuk industri kandungan kreatif untuk tahun 2022.Industri kandungan kreatif digital merupakan antara industri yang pantas berkembang dan salah satu industri tumpuan di bawah Malaysia Digital. Oleh itu, MDEC komited memastikan industri ini menerima sokongan yang diperlukan untuk kekal berdaya maju, mampan dan kompetitif.
Sejak tahun 2016, MDEC telah meluluskan 94 projek bernilai RM36.4 juta kepada syarikat kandungan kreatif digital bagi membiayai idea mereka di peringkat pembangunan dan memastikan ia mesra pelabur.Pendaftaran untuk Geran Kandungan Digital 2022 kini dibuka sehingga 29 Julai 2022 dan mereka yang berminat boleh melayari https://mdec.my/dcgprisma2022 untuk maklumat lanjut.