MISI PERDAGANGAN FRANCAIS MALAYSIA KE HO CHI MINH, VIETNAM
HO CHI MINH, 2 NOVEMBER 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan satu Misi Perdagangan Francais
ke Ho Chi Minh, Vietnam sempena Pameran Antarabangsa The 14th Vietnam
International Retailtech & Franchise Show 2023 (VIETRF 2023) dari 2 hingga 4
November 2023.
- Misi perdagangan ini merupakan program pengembangan francais yang
dilaksanakan di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan
Eksport (EFDP). Misi kali ini adalah misi perdagangan ke lima (5) yang
dijadualkan pada tahun ini selepas Melbourne, Bangkok, Jakarta dan Turkiye.
Untuk pengetahuan, sebanyak 360 jenama tempatan dan syarikat dari seluruh
dunia dengan lebih 14,000 pengunjung hadir ke pameran VIETRF 2023. - Delegasi KPDN diketuai oleh Pengarah Kanan di Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Yang Berusaha Encik Mohammad
Sanusi bin Abdul Karim. Turut hadir bersama adalah Konsul Jeneral Malaysia di Ho
Chi Minh, En. Firdauz bin Othman dan Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysia
(MFA), Encik Mohamad Shukri bin Salleh. - Selain wakil daripada KPDN, delegasi ini turut disertai oleh Persatuan
Francais Malaysia (MFA) dan sembilan (9) syarikat francais terkemuka tempatan
seperti Marrybrown, US Pizza, Q-Dees, HOME Math Therapy, Smart Reader
Kids, Laundrybar, MEIKO, Midyson dan Sangkaya. - Untuk makluman, KPDN akan membawa lebih banyak produk francais
tempatan yang mempunyai kelainan tersendiri untuk dipasarkan ke peringkat
antarabangsa.
- Di peringkat global, jenama francais Malaysia juga telah
berkembang sebagai jenama terkemuka di seluruh dunia, dengan lebih daripada
70 jenama di 80 buah negara.
VIETRF 2023 merupakan platform terbaik untuk
usahawan-usahawan francais tempatan mengembangkan perniagaan francais ke
pasaran strategik di rantau ASEAN.
- Kementerian optimis bahawa syarikat-syarikat yang menyertai misi
perdagangan ke Ho Chi Minh, Vietnam ini akan mendapat hasil bagi pulangan
pelaburan kepada negara. Ia adalah selaras dengan sasaran potensi pelaburan
yang ditetapkan sebanyak RM40 juta bagi kesemua 12 syarikat yang
menyertai misi perdagangan ini. - Dalam program yang sama di VIETRF 2023, Yang Berusaha Encik
Mohammad Sanusi juga mempengerusikan mesyuarat perniagaan bersama pihak
Malaysia Business Chamber Vietnam (MBC). Di dalam mesyuarat berkenaan itu,
beberapa isu berkaitan francais dibangkitkan bagi dibincangkan dan diselesaikan
bersama. Selain itu, delegasi Malaysia turut mengadakan beberapa program kerja
seperti pertemuan dengan pihak Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh,
Investment and Trade Promotion Centre (ITPC) Vietnam dan lawatan ke cawangan
jenama francais Malaysia yang telah menembusi pasaran Vietnam iaitu Global Art.