Najib dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras bagi mendapatkan rawatan – Jabatan Penjara
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras bagi mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjut susulan kesihatan beliau yang tidak memuaskan pada Isnin (19 Sept) lalu.
Merujuk pada kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penjara pada hari ini, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman setelah mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Pada 19 September 2022, pihak HKL telah merujuk Dato’ Sri Najib ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjutan sehingga kini.
Dato’ Sri Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” demikian menurut kenyataan oleh Jabatan Penjara.
Mengulas lanjut, keputusan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukan di bawah Akta tersebut serta United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (Mandela Rules).
Menurut kenyataan itu lagi, sebagai pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, pihak Jabatan Penjara selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga.
Ia termasuklah penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan.
Terdahulu, media melaporkan Najib yang hadir di Mahkamah Tinggi bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 12 September lalu akan dirujuk ke Hospital Kajang atas sebab masalah kesihatan yang tidak memuaskan lanjutan pengambilan ubat darah tinggi yang memberi kesan yang teruk.
Menurut kenyataan Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi, pertukaran ubat yang diberikan bagi rawatan ulser perut telah mengakibatkan tekanan darah Najib berada pada paras tinggi dan berbahaya.
Tambah beliau lagi, permohonan Najib bagi mendapatkan rawatan telah ditolak oleh pakar perubatan yang berkenaan.
Selanjutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui satu kenyataan mengesahkan kesahihan ubat yang diberikan kepada Najib walau bagaimanapun adalah jenis sama dan dalam senarai ubatan kementerian semasa menerima rawatan di HKL.
Dalam pada itu juga, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tahap kesihatan Najib berada di tahap yang baik sebelum dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan pada 9 September lalu.
Najib dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun serta denda sebanyak RM210 juta selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.