NIOSH RAKAM TAKZIAH, SERU TINGKATKAN ASPEK KESELAMATAN PENGANGKUTAN PELAJAR

  • June 10, 2025
  • 3 min read
NIOSH RAKAM TAKZIAH, SERU TINGKATKAN ASPEK KESELAMATAN PENGANGKUTAN PELAJAR

BANDAR BARU BANGI, 9 JUN 2025 – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas bas sewa khas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Gerik, Perak awal pagi tadi (9 Jun 2025).

NIOSH turut mendoakan agar semua mangsa yang cedera segera sembuh serta keluarga yang kehilangan insan tersayang diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik sukar ini.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang bertanggungjawab dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), NIOSH amat prihatin terhadap keselamatan pelajar dan orang awam semasa menggunakan pengangkutan awam darat, termasuk perkhidmatan bas ekspres dan sewa khas bagi tujuan perjalanan pelajar.

Pengurusan keselamatan dalam pengangkutan awam yang berfungsi sebagai entiti perniagaan turut tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022), di mana pengangkutan tersebut dikategorikan sebagai tempat kerja. Oleh itu, pihak pengurusan syarikat serta pemandu sebagai pekerja perlu melaksanakan langkah-langkah KKP bagi memastikan keselamatan bukan sahaja untuk pekerja tetapi juga penumpang.

Media melaporkan kemalangan membabitkan bas persiaran yang membawa 44 individu, termasuk 42 pelajar UPSI itu, mengorbankan 15 nyawa, 13 maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

NIOSH turut menyokong usaha pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta merangka langkah-langkah pencegahan supaya tragedi seperti ini tidak berulang.

Sehubungan itu, NIOSH bersedia menawarkan khidmat kepakaran melalui latihan, audit keselamatan kenderaan pengangkutan, penilaian risiko serta program kesedaran KKP kepada pengendali perkhidmatan pengangkutan awam.

Usaha ini juga selari dengan aspirasi Pelan Induk KKP 2021-2025 (OSHMP25) yang bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat kepada seluruh rakyat Malaysia.

NIOSH menyeru semua pihak yang terlibat dalam sektor pengangkutan awam supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan penumpang dan pekerja. Usaha berterusan daripada semua pihak amat penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak, termasuk penumpang kenderaan, sentiasai terjamin.

#TAMAT#

Dikeluarkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

En. V. Ganaprakasah

ganaprakash@niosh.com.my

011-55525035

Mengenai Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) ditubuhkan sebagai syarikat berhad menurut jaminan pada 24 Jun 1992, di bawah Kementerian Sumber Manusia. Beroperasi di ibu pejabatnya di Bandar Baru Bangi sejak tahun 1996, NIOSH telah memperluaskan perkhidmatannya dengan pembukaan pejabat wilayah di Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Johor, dan Terengganu serta 12 pejabat satelit di seluruh negara. NIOSH menyediakan pelbagai khidmat latihan, rundingan, penyelidikan dan pembangunan, penyebaran maklumat, dan peperiksaan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dengan sokongan pakar teknikal dan 13 makmal bertaraf antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *