KUALA LUMPUR, 30 April – Pantai Chenang sedia menyambut kehadiran 100,000 pengunjung bagi memeriahkan acara Festival Muzik Air Langkawi yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga ahad ini.
Festival tersebut adalah antara acara yang disenaraikan dalam kalender Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, anjuran Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).
Menurut Pengurus Acara Festival, Azlikamal Mat Yeas, penganjuran festival tersebut bakal berlangsung selama tiga hari pada 1 hingga 3 Mei depan.
“Kita telah bersedia untuk memberikan pengalaman berharga kepada semua pengunjung yang hadir ke Festival Muzik Air Langkawi tahun ini. Pengunjung tidak akan rugi dan pastinya akan meninggalkan satu memori indah menerusi pelbagai acara yang unik dan tersendiri.
Selaku pihak penganjur, kami menyeru agar orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke Pantai Chenang, Langkawi bagi memeriahkan lagi festival ini”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Antara pengisian acara Festival Muzik Air Langkawi termasuk Pertandingan Bola sepak Pantai,
Sukan Air seperti Pukul Bantal, Panjat Tiang Licin, Boling Pantai Buah Kelapa dan Pertunjukan Api pada waktu malam.
Acara lain yang turut akan dilangsungkan ialah Rakit Darat, Puncher Pipe, Basket Ball Throw, Fast & Furios dan TUG of War.
Pengunjung boleh mengambil bahagian pelbagai acara tersebut dan terbuka kepada orang awam.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang bersantai bersama keluarga dan menikmati pelbagai juadah di gerai dan restoran yang memang sudah tersedia di sepanjang Pantai Chenang.
Pihak penganjur menjangkakan seramai 100,000 pengunjung hadir ke festival itu yang bakal berlangsung ketika cuti panjang sempena Hari Pekerja.
Orang ramai dari seluruh negara dijemput hadir beramai-ramai dan tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan penganjuran festival ini.
“Berkunjunglah ke Pantai Chenang, Langkawi pada hujung minggu ini. Pelbagai hadiah disediakan kepada pemenang pertandingan. Kita nak pastikan pengunjung datang membawa harapan dan pulang dengan senyuman kepuasan”, katanya.



