Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) ialah badan separa kehakiman (quasijudicial) yang ditubuhkan di bawah Seksyen 44 Akta Persaingan 2010.
Tribunal Rayuan Persaingan mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk
mendengar rayuan ke atas keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia
(MyCC) di bawah Seksyen 35(arahan), 39(dapatan tiada pelanggaran)
dan 40(dapatan pelanggaran) Akta Persaingan 2010 [Akta 712].
Akta 712 melarang perlakuan antipersaingan yang antara lainnya
termasuklah amalan perjanjian antipersaingan dan penyalahgunaan
kedudukan dominan. Siasatan boleh dijalankan oleh MyCC dan tindakan
boleh diambil terhadap mana-mana perniagaan, perusahaan atau syarikat
yang didapati melakukan pelanggaran di bawah Akta 712 termasuk
pengenaan penalti.
Oleh itu, mana-mana pihak yang ingin membuat rayuan terhadap sesuatu
arahan atau keputusan MyCC boleh mengemukakan rayuan tersebut
kepada TRP yang mempunyai bidang kuasa termasuk untuk
mengekalkan atau mengetepikan keputusan yang dikeluarkan oleh
MyCC. Bagi memastikan proses rayuan di TRP berjalan lancar, prosedur
rayuan ini ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Persaingan (Tribunal
Rayuan) 2017.
Keanggotaan TRP pada masa ini ialah seramai 12 orang yang terdiri
daripada Presiden TRP iaitu, YA Dato’ Indera Mohd Arief Emran bin Arifin
yang merupakan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Malaya yang kini
bertugas di Mahkamah Tinggi (Jenayah 2) Kuala Lumpur. Manakala 11
orang Anggota TRP yang lain merupakan pakar dalam bidang masingmasing yang berkaitan dengan perindustrian perdagangan, ekonomi,
undang-undang, perakaunan dan hal ehwal pengguna.



