PELAN JALINAN DIGITAL NEGARA (JENDELA) LENGKAPKAN PROSES FIBERISASI DI PULAU TIOMAN
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaporkan perkembangan terkini mengenai
Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang merangkumi pelaksanaan rangkaian
gentian optik dasar laut Pulau Tioman kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam satu sesi
taklimat di Pulau Tioman pada 19 Februari (Ahad). Sesi taklimat tersebut telah
disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MCMC, YBhg. Dato’ Mohd Ali Hanafiah
Mohd Yunus.
Pelaksanaan rangkaian gentian optik dasar laut ke Pulau Tioman di bawah inisiatif
Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) seliaan MCMC menjadi pencetus
kepada usaha penyediaan rangkaian gentian optik di seluruh kampung di Pulau
Tioman. Projek berkenaan yang membangunkan rangkaian gentian optik dari Kuala
Rompin ke Kampung Tekek sejauh 75.2km telah siap sepenuhnya pada bulan
September 2018 dengan kos pemasangan bernilai RM37.1 juta. Dengan adanya
rangkaian gentian optik dasar laut itu telah membolehkan semua kampung di Pulau
Tioman menikmati kemudahan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi.
Selain itu, saya telah dimaklumkan bahawa projek gentian optik Kg. Mukut sejauh
8.5km yang menghubungkan rangkaian gentian optik dari Japamala ke Kg. Mukut
melalui Kg. Nipah dan Kg. Sarang Burung dengan kos pelaburan sebanyak RM2.2
juta telah dilaksanakan oleh Telekom Malaysia (TM). Projek terbabit yang bermula
pada bulan September 2022 telah siap pada bulan Disember 2022 dan kini menjadi
pelengkap kepada semua kampung di Pulau Tioman tersedia dengan rangkaian
gentian optik. Dengan kesedaran serta permintaan yang semakin meningkat, kadar
penggunaan gentian optik pada masa ini di tahap 61% penduduk dengan anggaran
466 premis di Pulau Tioman.
Dalam era globlisasi yang mana Internet menjadi salah satu daripada kemudahan
asas yang utama, projek di Kg. Mukut adalah sangat penting kerana ianya menjadi
pelengkap kepada usaha merangkaikan semua kampung di Pulau Tioman dengan
rangkaian gentian optik yang bukan sahaja merapatkan jurang digital dalam kalangan
masyarakat malahan juga mampu merancakkan ekonomi digital komuniti dan industri
pelancongan Pulau Tioman.