Penganjuran festival filem China tingkat kerjasama industri filem Malaysia-China

  • September 19, 2022
  • 2 min read
Penganjuran festival filem China tingkat kerjasama industri filem Malaysia-China

KUALA LUMPUR: Pertamanya, syabas kepada Pusat Kebudayaan China Kuala Lumpur atas kejayaan penganjuran Festival Filem China yang pertama di Malaysia bertempat di DADI
Cinema Pavillion, Kuala Lumpur.


Malaysia telah dipilih sebagai antara destinasi untuk menganjurkan Festival Filem China yang pertama hasil inisiatif oleh China Film Administration.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam satu kenyataan medianya, festival yang turut disokong oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia ini akan berlangsung selama empat hari bermula 15 hingga 18 September 2022. Sebanyak 20 filem akan ditayangkan dalam tempoh empat hari yang terdiri daripada 18 filem dari China manakala dua filem lagi dari Malaysia.


Filem ‘On Your Mark’ arahan pembikin filem Malaysia, Chiu Keng Guan yang juga
pengarah filem pecah panggung ‘Ola Bola’ telah ditayangkan pada malam Majlis
Perasmian.

Filem tersebut telah memperoleh RM8.7 juta pada hari pembukaannya dan terus mengumpul lebih RM24 juta dalam tempoh dua hari sekali gus menjadi filem
nombor satu di China pada hari pembukaannya.

Kejayaan ini membuktikan kemampuan bakat kreatif dari Malaysia juga mempunyai kualiti hebat sebagai teraju dalam produksi bertaraf global.


“Saya amat berbangga kerana sebuah filem terbitan Malaysia mendapat perhatian
sedemikian dari China. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) akan terus komited untuk menyokong bakat kreatif tempatan dan memastikan mereka juga mampu berkembang di peringkat antarabangsa.


Sehubungan dengan itu, K-KOMM menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
Malaysia (FINAS) yang bertindak sebagai pemudah cara industri perfileman Malaysia
mengalu-alukan semua produksi luar negara, khususnya dari Republik Rakyat China,
untuk menjalani penggambaran filem di Malaysia.

FINAS menawarkan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) untuk menarik pelaburan asing dalam penerbitan filem dan televisyen dengan menggunakan Malaysia sebagai lokasi penggambaran.


Kerjasama strategik bersifat jangka panjang menerusi perjanjian kerjasama produksi
antarabangsa (Co-Pro Treaty) antara dua negara tersebut yang sedang
dimuktamadkan ini juga merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan daya saing
ekonomi industri filem tempatan di peringkat global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *