MTUC serah memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya

  • September 19, 2022
  • 4 min read
MTUC serah memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya

KUALA LUMPUR: Pada 15hb September 2022 yang lepas, MTUC diketuai oleh Haji Mohd Effendy bin Abdul Ghani, Presiden MTUC bersama Ahli-Ahli Majlis Kerja MTUC yang terdiri daripada Saudara Kamarul Baharin bin Mansor, Setiausaha Agung MTUC dan beberapa pegawai utama MTUC yang lain serta Ahli Gabungan MTUC telah hadir ke pejabat Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menyerahkan memorandum kepada pihak Kerajaan melalui KSM.  KSM telah diwakili oleh Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia.

Tujuan memorandum tersebut diserahkan kepada pihak KSM adalah kerana ingin menzahirkan isi hati daripada seluruh kesatuan gabungan MTUC sendiri tentang bantahan, ketidakpuasan hati dan kesal dengan tindakan kerajaan yang baru-baru ini dengan tindakan yang seolah-olah membelakangkan pihak MTUC selaku wakil pekerja, sekaligus tidak menghormati perbincangan-perbincangan awal yang telah diadakan.

Di antara kandungan memorandum tersebut adalah, MTUC ingin menyatakan bahawa sejumlah 16.54 juta pekerja di Malaysia kecewa dengan pengumuman Menteri Sumber Manusia melalui keputusan kabinet untuk menangguhkan perlaksanaan Gaji Minimum yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 September 2022. Penangguhan bagi perlaksanaan ini telah ditetapkan dengan tarikh baru iaitu pada 1 Januari 2023.

MTUC sememangnya membantah penangguhan tersebut malah sejak dari awal lagi telah secara konsisten menyarankan kepada Kerajaan khususnya Menteri Sumber Manusia agar menepati janjinya dan memastikan perlaksanaannya pada 1 September 2022. Dan, yang paling menyedihkan, di mana kenyataan Menteri Sumber Manusia baru-baru ini mengatakan bahawa, penangguhan ini telah dibawa berbincang terlebih dahulu dengan MTUC.

Pihak MTUC secara tegas menafikan kenyataan tersebut kerana tidak apa-apa perbincangan yang diadakan bagi penangguhan perlaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 ini.  Sememangnya ini amat mengejutkan kesemua pimpinan MTUC kerana perkara yang amat penting ini tidak dibincang dengan MTUC dan pengumuman tersebut juga tidak dimaklumkan kepada pimpinan MTUC lebih awal lagi.

MTUC berpendapat bahawa perlaksanaan tersebut boleh dilaksanakan kerana ianya memberi manafaat kepada semua pihak secara keseluruhan.

Dalam konteks ini, MTUC berharap Menteri Sumber Manusia hendaklah mengadakan satu sesi libat urus antara MTUC dan Kementerian Sumber Manusia, yang sebelum ini mengadakan sesi libat urus “telus dan berterusan” berhubung perbincangan sebarang pindaan di dalam apa-apa Akta Perburuhan Negara yang utama.

Di dalam memorundum tersebut, MTUC juga ingin menyuarakan ketidakpuasan hati dan sememangnya terkilan dengan perlaksanaan Gaji Minimum yang tidak menyeluruh kepada semua sektor pekerjaan di Semenanjung Malaysia. Sehingga ke hari ini, pekerja-pekerja pembersihan dan pengawal-pengawal keselamatan di sekolah-sekolah dan juga bangunan-bangunan kerajaan telah dinafikan hak mereka untuk menikmati bayaran Gaji Minimum yang telahpun diumumkan pada 1 Mei 2022 yang lalu.

Amatlah malang kepada golongan pekerja tersebut apabila tidak dapat menikmati hak mutlak mereka sebagai seorang pekerja. Harus diingatkan bahawa Hak Pekerja adalah Hak Asasi Manusia tetapi ianya tidak berlaku sama sekali. Ini jelas satu penindasan dan diskriminasi yang serius terhadap mereka!

MTUC ingin menegaskan bahawa, pihak Kerajaan perlulah serius dan tidak bersikap pilih kasih ataupun bersikap selektif di dalam mengambil tindakan terhadap pihak majikan yang masih berdegil dan tidak mahu mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 ini. Tindakan tegas perlu dilakukan secara holistik dan segera. Tidak perlu lagi menunggu sehingga aduan dibuat.

Pemeriksaan berterusan dari pihak penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja perlu dijalankan secara agresif dalam memastikan perlaksanaan ini dipatuhi dalam memenuhi aspirasi Kerajaan Keluarga Malaysia untuk membantu golongan pekerja di Malaysia lebih-lebih lagi ianya melibatkan anak tempatan Keluarga Malaysia kita. Pihak Jabatan Tenaga Kerja perlu ada inisiatif sendiri dalam melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan berterusan.

MTUC ingin mengingatkan kepada Kerajaan agar bersikap lebih terbuka dan menghormati semangat tripartite sepertimana di dalam Konvensyen ILO C144 – Tripartite Consultations setiap kali mengadakan apa-apa perbincangan. Jangan lah mempolitikkan isu ini yang sememangnya akan merugikan kesemua pihak. 

Kesatuan sekerja bukan kumpulan pendesak, tetapi adalah kumpulan berkepentingan. Melalui konsep kerjasama pintar, kami percaya sesuatu keputusan dapat dicapai bersama demi kepentingan bangsa, agama serta negara tercinta pada mas kini dan hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *