Peniaga Bazaar Karnival Seri Muda 2025 Dakwa Kutipan Kanopi RM1,300 Guna Akaun Peribadi, MBSA Diminta Siasat

Seri Muda, Selangor – Sejumlah peniaga yang menyertai Bazaar Karnival Deepavali 2025 di Seksyen 25, Seri Muda melahirkan rasa kecewa dan marah selepas mendakwa kutipan bayaran kanopi bernilai RM1,300 hingga RM1,500 dilakukan melalui akaun peribadi seorang individu, walaupun permit rasmi telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Menurut laporan daripada beberapa peniaga, kutipan wang berkenaan dibuat oleh pihak persatuan peniaga tanpa penjelasan yang jelas, menyebabkan kekeliruan sama ada tindakan itu mendapat kelulusan MBSA atau merupakan inisiatif peribadi ahli majlis tertentu.
“Sebelum ini, sejak 2018, bayaran untuk kanopi dibuat melalui saluran rasmi, tetapi tahun ini mereka gunakan akaun peribadi seorang wanita. Tahun lepas pun sama,” kata seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan.

Peniaga lain menambah, walaupun permit dan kelulusan telah disahkan, pihak persatuan tetap meminta bayaran tambahan tanpa sebab munasabah. “Kami rasa ditipu. MBSA perlu bertindak dan memberi penjelasan segera,” ujar mereka.
Dalam pada itu, peniaga memohon supaya pihak SPRM dan Dato’ Bandar MBSA menyiasat perkara ini dengan segera bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan terhadap mereka.
Isu ini menimbulkan pertanyaan besar dalam kalangan komuniti peniaga mengenai transparansi pengurusan bazaar dan kutipan bayaran kanopi, serta keperluan agar semua urusan kewangan dibuat melalui saluran rasmi pihak berkuasa tempatan.




