Penubuhan UKKM bertepatan dengan sambutan 100 tahun lahirnya koperasi di negara ini

26 MEI 2022 – Perpustakaan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) secara rasminya telah diberi nama baharu iaitu Perpustakaan Tan Sri Noh Omar bagi menghargai jasa Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tersebut yang telah banyak menabur jasa dan bakti kepada pembangunan gerakan koperasi negara.
Perasmian nama baharu perpustakaan tersebut telah disempurnakan oleh Tan Sri Noh Haji Omar pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri IKMa 2022 di ibu pejabat IKMa, Petaling Jaya hari ini (26 Mei 2022).

Majlis tersebut tersebut turut dihadiri oleh isteri beliau, Puan Sri Prof. Datuk Dr. Aishah Salleh; Anggota Lembaga Pengarah IKMa yang terdiri daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Dato’ Mohammad Radhi Abdul Razak; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Haji Zazali Haron; Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Wira (Dr.) Rosli Mat Hassan; Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor dan Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah.
Dalam majlis yang sama, Tan Sri Noh turut menyerahkan surat kelulusan penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) kepada Datuk Wira (Dr.) Rosli.

Menurut beliau, UKKM yang dijangka mula beroperasi pada bulan September ini akan menerima kemasukan hingga 1,000 pelajar dan ibu pejabat IKMa yang lengkap dengan kemudahan seperti bilik kuliah, asrama dan dewan besar akan menjadi kampus pertama institut tersebut.
“Penubuhan UKKM sangat bertepatan dengan sambutan 100 tahun lahirnya koperasi di negara ini pada 22 Julai nanti,” ujar Tan Sri Noh.
Perpustakaan Tan Sri Noh Omar yang sudah beroperasi lebih 30 tahun mempunyai lebih 30 ribu koleksi bahan monograf antaranya adalah buku, bahan terbitan bersiri seperti majalah, jurnal dan surat khabar serta laporan tahunan dan kertas kerja seminar.
Perpustakaan tersebut juga menampilkan ‘Technology Lab IR4.0’ iaitu sebuah makmal digitalisasi yang berperanan sebagai pusat yang meningkatkan kemahiran penggunaan ICT dalam kalangan warga koperasi dengan menghubungkan mereka dengan pemain-pemain utama industri.
Hadir sama ke majlis ialah Timbalan Presiden ANGKASA yang juga mantan Ketua Pengarah IKMa, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Setiausaha Bahagian, Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP, Dr. Hajah Salmah Ishak.