PERAGAAN BUSANA TRADISI MEMERIAHKAN ‘KITA MADANI’ & MAJLIS MESRA AIDILFITRI DAERAH KUALA SELANGOR

  • May 8, 2023
  • 2 min read
PERAGAAN BUSANA TRADISI MEMERIAHKAN ‘KITA MADANI’ & MAJLIS MESRA AIDILFITRI DAERAH KUALA SELANGOR

KUALA SELANGOR, 6 MEI 2023 – Suasana penuh meriah dengan busana tradisional berwarna-warni yang digayakan oleh penduduk sekitar daerah Kuala Selangor, menyerikan lagi Program ‘Kita Madani’ Daerah Kuala Selangor yang diadakan bersempena Majlis Mesra Aidilfitri peringkat DUN Permatang.

Peragaan Busana Tradisi ini merupakan salah satu pengisian utama ‘Kita Madani’ yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Selangor dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat DUN Permatang bertempat di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat DUN Permatang, Tanjong Karang, Selangor, hari ini. Pelbagai kategori dipertandingkan iaitu kategori keluarga sedondon, veteran lelaki, dewasa lelaki, veteran wanita, dewasa wanita, kanak-kanak lelaki dan juga kanak-kanak perempuan.

Program Kita Madani Daerah Kuala Selangor merupakan program turun padang dan libat urus JaPen Selangor bersama komuniti setempat bertujuan mewujudkan kebersamaan serta membina keharmonian antara pemimpin dan rakyat selain menerapkan nilai-nilai murni berlandaskan enam (6) tonggak Malaysia MADANI iaitu KeMampanan, KesejAhteraan, Daya Cipta, hormAt, KeyakiNan dan Ihsan.

Program ini turut dimeriahkan dengan pameran interaktif oleh pelbagai agensi kerajaan, jamuan hari raya Aidilfitri, Taklimat Belanjawan 2023, Taklimat Iltizam Selangor, Persembahan artis PENTARAMA Jabatan Penerangan Malaysia, pertandingan kuiz Madani, Penyampaian sumbangan kepada masjid, surau dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Permatang dan juga pertandingan mewarna.

Program Kita Madani Daerah Kuala Selangor disempurnakan oleh YB Rozana Zainal Abidin, Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang dengan turut dihadiri YBrs. Puan Normaizatulakmal binti Tujad, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Selangor.

Dalam temuramah YB Rozana bersama media hari ini, beliau menzahirkan rasa terujanya kerana kehadiran yang sangat menggalakkan di kalangan penduduk setempat tidak mengira kaum, bangsa dan peringkat umur. Beliau menekankan kepada semua penduduk Kuala Selangor supaya menghayati serta memahami Konsep Malaysia Madani yang dicetuskan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Menteri Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *