PERHIMPUNAN ICA-AP LULUSKAN PENGGABUNGAN JAWATANKUASA PERTANIAN, JAWATANKUASA PERHUTANAN
Perhimpunan Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa – Asia dan Pasifik (ICA-AP) Ke-16 yang telah diadakan di Manila, Filipina pada 9 November 2023 telah meluluskan penggabungan Jawatankuasa Pertanian dan Jawatankuasa Perhutanan menjadi satu jawatankuasa tunggal iaitu Jawatankuasa Pertanian dan Alam Sekitar.
Perhimpunan yang telah dihadiri oleh 600 delegasi dari 27 negara itu telah dipengerusikan oleh Presiden ICA-AP, Dr. Chandrapal Singh Yadav. Hadir sama ialah Presiden ICA, Mr. Ariel Guarco dan Pengarah Serantau ICA-AP, Mr. Balu Iyer.
Jawatankuasa Pertanian ICA-AP, salah satu jawatankuasa yang pertama ditubuhkan, telah menjalankan banyak projek untuk memperkasakan pembangunan koperasi pertanian di rantau tersebut. Walau bagaimanapun, aktiviti jawatankuasa berkenaan menurun semasa dan selepas pandemik COVID-19.
Jawatankuasa Perhutanan turut menghadapi kesulitan dari segi mendapatkan keahlian yang mencukupi dan mengekalkan momentum dengan penganjuran pelbagai bentuk aktiviti. Kedua-dua jawatankuasa pertanian dan perhutanan memegang peranan yang signifikan di Asia Pasifik kerana sejumlah besar koperasi ahli ICA-AP terlibat dalam kedua-dua sektor itu.
“Mengambil kira kepentingan sektor pertanian dan kebimbangan yang meningkat mengenai alam sekitar dan iklim, ahli ICA-AP merasakan bahawa penggabungan kedua-dua jawatankuasa akan membawa kepada jumlah keahlian yang lebih besar dan penyelarasan aktiviti yang lebih baik sekali gus memberikan impak signifikan kepada pembangunan koperasi dan kesejahteraan alam sekitar,” kata Mr. Balu.
Tambah beliau, penggabungan kedua-dua jawatankuasa menunjukkan komitmen ICA-AP dalam mengatasi isu penting dan kritikal serta menyediakan platform untuk penyertaan ahli yang lebih meluas.
Perhimpunan Serantau ICA-AP Ke-16 telah membentangkan sebanyak 15 agenda termasuk pembentangan laporan tujuh jawatankuasa sektor / tematik ICA-AP.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden ICA-AP, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd. Azlan Yahya, Anggota Lembaga ANGKASA terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Encik Azizul Alias mewakili Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Puan Suzana Alias mewakili Kementerian Kewangan serta 15 Pengerusi ANGKASA Negeri.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Haji Zaharudin Alias, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Dato’ Haji Md. Yusof Haji Samsudin dan barisan pengurusan ANGKASA yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia, Encik Mohd Zaib Mat Yunus dan seramai 19 delegasi yang mewakili sembilan koperasi lain di Malaysia juga hadir ke perhimpunan tersebut.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP telah membentangkan laporan bagi jawatankuasa itu manakala Dr. Mohd. Azlan telah membentangkan laporan Jawatankuasa Institusi Pendidikan di Koperasi selaku Pengerusi jawatankuasa berkenaan.
Dalam perhimpunan berkenaan juga, National Cooperative Council of Sri Lanka telah diumumkan sebagai tuan rumah untuk Perhimpunan Serantau ICA-AP Ke-17 pada tahun 2025.