PERKESO dapat pengiktirafan antarabangsa atas usaha MyfutureJobs perbaiki kehidupan OKU

  • February 28, 2023
  • 4 min read
PERKESO dapat pengiktirafan antarabangsa atas usaha MyfutureJobs perbaiki kehidupan OKU

CYBERJAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa Zero Project Award dalam kategori “Innovative Solutions” atas perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan menerusi Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs yang menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi akses kepada peluang pekerjaan.


Anugerah disampaikan kepada PERKESO sempena Persidangan Zero Project yang
bertemakan “Independent Living & Political Participation, and ICT” yang dianjurkan di Vienna, Austria baru-baru ini.

Portal MYFutureJobs yang menyediakan
perkhidmatan pekerjaan yang inklusif dan komprehensif adalah antara 71 pendekatan atau penyelesaian berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dari 42 buah negara yang menerima Anugerah Zero Project dalam kategori pendekatan berinovatif.


Persidangan tahunan Zero Project yang berlangsung dari 22 hingga 24 Februari 2023
di Vienna menghimpunkan para penyelidik dan pembuat keputusan dari seluruh dunia
untuk memupuk kerjasama dan perkongsian pendekatan penyelesaian terbaharu dan
inovatif untuk penggunaan di seluruh dunia ke arah dunia sifar halangan.

PERKESO adalah di antara 21 penerima anugerah dalam kategori “Innovative Solutions” dari Asia & Pacific, manakala penerima anugerah yang lain adalah dari Eropah, Amerika Utara, Amerika Latin & Caribbean, Afrika dan Australia & Oceania.

Sebelum ini, pada tahun 2017, perkhidmatan pekerjaan di bawah Program Return
To Work (RTW) yang diperkenalkan PERKESO bagi membantu pekerja yang kurang
upaya akibat kemalangan atau penyakit untuk mendapatkan pekerjaan baharu, telah
diiktiraf oleh Zero Project sebagai salah satu amalan terbaik (best practice) di peringkat global.

Usaha penambahbaikan serta perluasan skop perkhidmatan pekerjaan melalui Portal MYFutureJobs, mencerminkan anjakan paradigma dalam perkhidmatan dan perluasan perlindungan sosial yang dilaksanakan PERKESO untuk meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja di negara ini.


Dalam satu majlis ringkas di sini, Menteri Sumber Manusia Tuan V.Sivakumar telah
menyerahkan Anugerah Zero Project kepada Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri
Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed sebagai meraikan kejayaan PERKESO
meraih anugerah tersebut.


Pengiktirafan antarabangsa ke atas MYFutureJobs merupakan manifestasi komitmen Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO dalam
memperkukuh pasaran buruh secara aktif, progresif dan inklusif.

Bersandarkan teknologi digital dan Artificial Intelligence (AI), portal MYFutureJobs dapat membuat padanan pekerjaan untuk pencari kerja dan majikan dengan lebih tepat.

Hari ini, portal ini memberi akses yang lebih menyeluruh kepada orang ramai di mana hampir 2 juta pencari kerja telah berdaftar dengannya.


MYFutureJobs bukan hanya platform padanan pekerjaan, malah ia merupakan satu
ekosistem perkhidmatan pasaran buruh yang lengkap.

Selain daripada memberi manfaat kepada majikan dan semua kategori pencari kerja, portal MYFutureJobs turut menyediakan perkhidmatan sokongan secara individu atau pengurusan kes untuk semua golongan pencari kerja termasuk OKU.

Individu OKU juga mendapat akses
kepada perkhidmatan pekerjaan menerusi penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs di
pusat-pusat OKU, selain daripada program-program kesedaran tentang penggajian
pekerja OKU yang dianjurkan untuk pihak majikan.


Selain itu, MYFutureJobs juga memainkan peranan penting dalam penganjuran temu
duga harian dan mingguan, pelaksanaan karnival kerjaya berskala besar, program
kebolehpasaran di peringkat sekolah dan universiti, bimbingan kerjaya, penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs di kawasan luar bandar dan Pusat-pusat OKU, pengesyoran program latihan berdasarkan jurang kompetensi kemahiran, perkhidmatan sokongan kepada majikan yang memerlukan pekerja, penghasilan maklumat pasaran buruh kepada institusi seperti Bank Negara dan Jabatan
Perangkaan Malaysia serta program-program lain yang berkaitan seperti program
kesedaran penggajian OKU bagi majikan, sehinggalah semakan padanan caruman,
yang melengkapkan ekosistem perkhidmatan pasaran buruh MYFutureJobs.


Sejak Januari 2022 sehingga 20 Februari 2023, PERKESO telah menganjurkan 4,565 temu duga secara bersemuka serta karnival kerjaya untuk pencari kerja dan majikan yang berdaftar bagi memudahkan proses pengambilan pekerja.

Dalam pada itu, PERKESO sentiasa menitikberatkan jemputan kepada individu OKU bagi tawaran jawatan kosong yang bersesuaian daripada majikan.


Sejak program bermula, PERKESO telah berjaya menempatkan seramai 50,984
OKU ke alam pekerjaan. Sewaktu pandemik COVID-19, seramai 4,439 OKU telah
berjaya memperoleh mata pencarian melalui program-program yang dilaksanakan
termasuk inisiatif dan insentif Kerajaan.

Bagi program khusus untuk OKU, sebanyak
66 program temu duga telah dilaksanakan pada tahun 2022, di samping program
Disability Equality Training bagi meningkatkan tahap kesedaran majikan berhubung
aspek penggajian OKU.


PERKESO menyeru para majikan untuk berganding bahu memperkasa potensi OKU
dengan menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO di 03-8091 5300
bagi menyertai program-program berkaitan yang disediakan PERKESO.

Golongan OKU juga digalakkan untuk memohon dan memanfaatkan perkhidmatan pekerjaan yang disediakan menerusi Portal MYFutureJobs dengan mendaftar di
www.myfuturejobs.gov.my/career. Bagi sebarang maklumat lanjut, sila layari laman
sesawang PERKESO www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan
PERKESO di 1-300-22-8000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *