PERKESO Perkenal Elaun Pasca Cuti Bersalin Demi Kebajikan Ibu Bekerja

KUALA LUMPUR, 2 Mei 2026 – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) sebagai langkah memperkukuh kebajikan wanita bekerja serta membantu mengurangkan beban kos sara hidup selepas bersalin.


Menurut kenyataan media PERKESO, pendekatan baharu itu menggunakan konsep “perkongsian liabiliti” yang membolehkan EPCB berperanan sebagai bantuan kewangan tambahan kepada pekerja tanpa memberi kesan fiskal langsung kepada operasi majikan.
PERKESO memaklumkan model tersebut telah dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Sepanyol, Portugal, Perancis dan China dalam usaha memastikan kebajikan wanita pasca bersalin terus terpelihara tanpa menjejaskan kelangsungan industri.


“Pelaksanaan ini bukan sahaja kritikal dalam memelihara kesihatan wanita hamil, malah menjadi benteng yang menampan kecenderungan wanita meninggalkan kerjaya selepas bersalin ekoran dibebani peningkatan kos sara hidup keluarga,” menurut kenyataan itu.


Tambah PERKESO, EPCB dijangka menjadi pemangkin kepada pasaran buruh Malaysia yang lebih inklusif, progresif dan mesra wanita bekerja.


Pelaksanaan inisiatif tersebut akan dilakukan menerusi pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
Dalam perkembangan sama, PERKESO turut memperluaskan perlindungan sosial menerusi Skim Pengembara PERKESO di bawah Akta Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi melindungi pekerja rentas sempadan yang sebelum ini terdedah kepada risiko sosioekonomi.


Langkah itu dianggarkan memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta individu termasuk hampir 480,000 pekerja yang berulang-alik setiap hari melalui Tambak Johor.


PERKESO menegaskan segala mekanisme operasi dan sistem sokongan kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua inisiatif berjalan lancar selaras aspirasi Kerajaan MADANI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *