PPIM bongkar status daging halal luar negara
11 MEI 2022 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sentiasa peka dan memantau penternak dan
pengedar daging halal untuk pasaran di negara ini.
Baru-baru ini Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menerima maklumat dari sumber
yang sah mendedahkan bagaimana ternakan dizalimi dan proses penyembelihan yang
tidak mengikut prosedur halal berlaku di luar negara.
“Lebih membimbangkan syarikat tersebut merupakan pemegang sijil halal daripada
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” tegasnya.
Nadzim berkata, PPIM akan terus menggesa pihak JAKIM untuk melakukan siasatan
secara menyeluruh supaya tidak ada unsur-unsur penipuan demi menjamin kepentingan
pengguna.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PERKEMAS), Faizal Mohd
Nor berkata, PPIM dan PERKEMAS yakin terdapat unsur-unsur jelas perlanggaran protokol
penyembelihan sebagaimana telah digariskan oleh SOP halal JAKIM.
Bukti yang diterima PPIM dan PERKEMAS terdiri daripada video dan gambar serta
dikukuhkan dengan saksi pekerja sembelihan.
“Siasatan menyeluruh perlu dilakukan segera oleh pihak integriti seperti JAKIM, SPRM,
PDRM dan merombak semula struktur organisasi JAKIM,” katanya.
PPIM dan PERKEMAS amat bimbang dengan perkembangan terbaru kes ini kerana
bekalan daging dari sumber tersebut dipercayai sudah lama dibekalkan kepada umat Islam
di negara ini.
“Antara kaedah yang didedahkan ialah haiwan sembelihan dilemaskan dalam takungan
dara dan haiwan tersebut juga dipercayai dibiarkan mati akibat gigitan anjing-anjing liar
sehingga menjadi bangkai sebelum diproses untuk dijual di negara ini,” kata mereka dalam
satu kenyataan bersama hari ini.
PPIM dan PERKEMAS turut berkongsi paparan video, gambar dan kenyataan saksi iaitu
pekerja di rumah sembelihan terlibat kepada media.
Nadzim dan Faizal mahu pihak JAKIM bertanggungjawab dan mengemukakan bukti
mengenai dakwaan ini.